NOR Sarah antara prospek skuad olahraga untuk memenangi pingat emas di Sukan Sea Kemboja, bulan depan. FOTO FB MSN
NOR Sarah antara prospek skuad olahraga untuk memenangi pingat emas di Sukan Sea Kemboja, bulan depan. FOTO FB MSN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas acara lompat bergalah di Sukan Sea Hanoi, Vietnam, Mei tahun lalu, Nor Sarah Adi bersedia menerima sebarang tindakan berikutan keputusannya untuk tetap berlatih bersama bekas ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil.

Sarah menegaskan, dia tetap dengan keputusannya itu biarpun sebelum ini pernah diberi amaran oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sekiranya ingin terus berlatih di bawah bimbingan Manshahar, atlet berusia 23 tahun itu perlu keluar daripada Program Podium.

"Saya tak kisah, saya rasa semua orang tahu dan tak perlu sorokkan lagi sekarang saya meneruskan latihan bersama coach Manshahar.

"Sebulan saya terkontang-kanting tiada jurulatih, tiada siapa peduli. Tak siapa pun tanya keadaan saya. Jadi saya suruh saja dia datang untuk melatih saya, nak buat macam mana," katanya.

Sarah yang ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, semalam, berkata, dia tidak kisah dengan sebarang bentuk hukuman akan dikenakan dan sudah membuktikan mampu untuk mengekalkan prestasi di tahap terbaik di bawah bimbingan Manshahar selepas merekodkan lompatan setinggi 4 meter untuk meraih pingat perak di Kejohanan Jemputan di Taiwan, hujung bulan lalu.

Pingat emas di kejohanan itu dimenangi atlet Amerika Syarikat (AS), Jill Marois yang merekodkan ketinggian 4.10m manakala Mayu Nasu dari Jepun dan atlet Thailand, Chonthicha Khabut masing-masing mencatatkan 3.90m untuk berkongsi pingat gangsa.

"Prestasi saya di Taiwan akan tentukan sama ada saya akan beraksi dalam acara lompat bergalah atau tidak di Sukan Sea Kemboja nanti, jadi saya tiada pilihan masa itu dan minta untuk coach Manshahar datang.

"Hanya dia yang tahu situasi dan kemampuan saya, masa itu saya tiada siapa-siapa. Saya tak boleh minta orang lain tengok.

"Dulu dia tengok saya dari jauh, saya hantar video, tapi saya fikirkan prestasi saya. Saya turun berlatih tak ada siapa yang tengok, tak ada orang peduli dan tak ada orang tanya.

"Malah ada cakap-cakap belakang yang katakan saya tak boleh 'perform' masa di Sukan Sea.

"Jadi saya perlu buat keputusan ini. Untuk saya dan negara. Sebab saya berjuang untuk Malaysia," katanya.

Sarah kini masih diletakkan sebagai prospek terbaik KOM meraih emas di Sukan Sea Kemboja berdasarkan prestasi ditunjukkannya.

Berdasarkan statistik terkini, Sarah berkedudukan tempat pertama Asia Tenggara mengatasi pesaingnya dari Thailand, Chonthicha dan Alyana Joyce Nicholas dari Filipina.

Terdahulu, kemelut melanda Sarah bermula apabila kontrak Manshahar selaku ketua jurulatih olahraga tidak disambung awal tahun lalu dan tugas itu kini digalas bekas atlet lompat kijang negara, Zaki Sadri.

Zaki sebelum ini berkhidmat sebagai ketua jurulatih skuad olahraga Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 6:32 PM