SARAH hanya menyertai tiga kejohanan kompetitif sebelum temasya Sukan Asia bermula. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
SARAH hanya menyertai tiga kejohanan kompetitif sebelum temasya Sukan Asia bermula. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi berharap dia diberi peluang untuk menyertai lebih banyak pertandingan kompetitif selepas ini.

Sarah mengakui meraih pengalaman berharga antaranya bagaimana menangani keadaan yang dipenuhi dengan ramai penonton ketika di temasya Sukan Asia Hangzhou, China bulan lalu biarpun gagal melakukan sebarang lompatan.

Justeru kejohanan kompetitif sangat diperlukan untuk dia belajar menangani situasi itu kerana ia amat diperlukan oleh seseorang atlet terutama ketika beraksi kejohanan besar.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi dan perak di Sukan Sea Kemboja Mei lalu berkata, dia hanya menyertai tiga kejohanan kompetitif sebelum temasya Sukan Asia bermula dengan kejohanan Lompat bergalah di Taiwan, diikuti Sukan Sea Kemboja dan Kejohanan Universiti Dunia di Chengdu, China sebelum turun beraksi di Sukan Asia.

"Sebelum ke kejohanan besar, orang lain sudah beberapa kali menyertai pertandingan besar untuk menyesuaikan diri dan memperbaiki kelemahan.

"Tapi saya pula tak ada, tahu, tahu saya terus pertandingan besar," katanya.

Katanya, dia sudah berbincang dengan jurulatih Mohd Manshahar Abdul Jalil untuk mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki dan mencari punca kegagalannya di Sukan Asia.

Dalam masa yang sama Sarah berkata, dia akan menjalani proses pemulihan untuk memastikan kecederaan hamstring dan pergelangan kakinya pulih yang dialaminya sebelum ke Hangzhou.

"Saya akan teruskan proses pemulihan dengan ISN (Institut Sukan Negara) membabitkan kecederaan hamstring dan pergelangan kaki.

"Apabila betul-betul pulih sepenuhnya, saya akan mula dapatkan bali kekuatan dan sebagainya.

"Dalam masa yang sama saya akan menyesuaikan diri dengan galah baru ini agar selepas ini saya mampu untuk lonjak lebih tinggi lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 11:53 AM