SARAH gagal lepasi ketinggian 3.80 meter.
SARAH gagal lepasi ketinggian 3.80 meter.
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Penamat yang tidak diinginkan oleh atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi pada penampilan pertamanya di pentas Sukan Asia, Hangzhou.

Kelmarin Sarah gagal menamatkan saingan dalam ranking kerana tidak mencatatkan sebarang lompatan apabila gagal dalam ketiga-tiga percubaan pada ketinggian 3.80 meter (m).

Mengulas keadaan itu, Sarah ketika dihubungi berkata, dia bertekad untuk menggunakan galah barunya kerana sebelum ini tidak berkesempatan mencubanya di kejohanan besar.

"Bila sampai di kejohanan besar, memang semangat untuk gunakan galah baru itu dan saya sempat gunakan masa sesi pemanas badan.

"Saya letak ketinggian 3.80m pada percubaan pertama saya tapi selepas saingan bermula keserasian itu tak ada. Saya tak tahu untuk mengawal galah baru itu.

"Saya tak boleh patah balik sebab ia akan membuatkan keadaan lebih teruk dan juga galah lama sudah lembut dan sangat berisiko untuk saya gunakan dalam pertandingan," katanya.

Sarah mengakui dia masih cuba untuk menerima apa yang berlaku tapi perlu segera bangkit melupakan episod sedih itu.

"Tipulah kalau saya tak sedih dan kecewa. Tapi saya kena lupakannya yang lepas biar lepas. Saya ajar diri sendiri apa yang berlaku ada hikmahnya.

"Saya bukan cari alasan tapi sekarang saya mahu betulkan apa yang kurang dan cari punca kegagalan hari ini. Selepas habis pertandingan semalam saya hubung jurulatih (Manshahar Abdul Jalil) bincang balik semua perkara dan kami selepas ini akan baiki mana yang patut," katanya.

Sarah dilihat atlet yang mempunyai potensi cerah untuk menguasai acara itu selepas meraih emas di Sukan Sea Hanoi dengan lompatan 4m.

Catatan peribadi terbaik Sarah pula adalah 4.05m yang dilakukan ketika memenangi pingat perak di Sukan Sea Kemboja, bulan lalu.

Rekod kebangsaan masih dipegang Roslinda dengan catatan 4.40 meter (m) yang dilakukan di Sepanyol pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 4:04 PM