SARAH raih emas di Sukan Sea. FOTO Ihsan MSN
SARAH raih emas di Sukan Sea. FOTO Ihsan MSN
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Atlet lompat bergalah wanita negara, Nur Sarah Adi menaruh harapan yang tinggi supaya jurulatih kesayangannya Manshahar Abdul Jalil untuk membimbingnya sekurang-kurangnya bagi menghadapi Sukan SEA Kemboja yang akan membuka tirainya Mei ini

Nur Sarah, 22, berkata walaupun Manshahar kini tidak lagi memikul tanggungjawab berkenaan tetapi dia masih berharap sentuhan jurulatih itu dalam misi membutirkan pingat di temasya dwitahunan itu.

"Buat masa ini, saya masih berlatih dengan jurulatih Manshahar tetapi saya tidak tahu lagi apa yang akan terjadi untuk akan datang. Saya harap saya akan bersama dengannya sehingga Sukan SEA.

"Hujung minggu ini saya ada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan, dan kalau ikutkan perancangan saya akan menyertai beberapa lagi kejohanan untuk persediaan ke Sukan SEA antaranya Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kalau jadi, saya juga akan berangkat ke Taiwan pada Mac untuk satu kejohanan dalam dewan di sana, tetapi semuanya bergantung kepada MSN," kata Nur Sarah yang sudah berlatih di bawah bimbingan Mansahar sejak April tahun lalu.

Manshahar adalah watak penting yang mengaturkan langkah untuk menyenaraikan Nur Sarah pada saat akhir beraksi dalam acara lompat bergalah pada Sukan Sea Hanoi, tahun lalu.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila Nur Sarah berjaya memenangi pingat emas dengan melakukan lompatan 4 meter (m).

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Wira Mark Ling mengesahkan sudah mencapai kata sepakat berhubung calon yang bakal menggantikan tempat Manshahar Abdul Jalil dan perkara itu akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 1:39 PM