KOEPKA lebarkan penguasaan di pusingan ketiga Masters. FOTO AFP
KOEPKA lebarkan penguasaan di pusingan ketiga Masters. FOTO AFP
AFP

Augusta: Brooks Koepka melebarkan kedudukannya di tangga teratas Masters kepada empat pukulan di depan pemain nombor tiga dunia dari Sepanyol, Jon Rahm sebelum pusingan ketiga di Augusta National ditangguhkan akibat hujan lebat.

Dengan lopak air terbentuk di padang hijau dan pemain bergelut menentang cuaca lebih mirip dengan Terbuka British, penganjur memutuskan untuk meninggalkan baki pertandingan untuk hari terakhir.

Dalam keadaan basah, sejuk dan berangin, pemain berhimpit di bawah payung dan Tiger Woods memakai topi musim sejuk di bahagian atas topi besbolnya.

"Ia amat sukar. Bola tidak pergi ke mana-mana. Anda perlu menangani hujan, dan ia amat sejuk. Ia tidak menjadikannya lebih mudah.

"Anda perlu menyempurnakan putt yang sukar. Anda tahu ia akan menjadi hari yang sukar. Anda hanya perlu mengharunginya dan cuba mendapatkan sesuatu," kata Koepka, yang hanya sempat menghabiskan pusingan ketiga sebanyak enam lubang dengan catatan satu bawah par.

Woods berjaya melepasi had penyingkiran tetapi dia memulakan pusingan ketiga dengan persembahan kurang memberangsangkan.

Juara major 15 kali itu kini berada di tangga tercorot pada enam atas par keseluruhan.

Namun bekas pemain nombor satu dunia berjaya menyamai rekod Fred Couples dan Gary Player apabila melepasi had penyingkiran 23 kali berturut-turut di Masters.

Woods tidak pernah tercicir daripada pusingan akhir Masters sejak menyertainya pada tahun 1996 sebagai pemain amatur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 11:56 AM