WOODS berlatih di driving range Bethpage Black kelmarin. — FOTO EPA
WOODS berlatih di driving range Bethpage Black kelmarin. — FOTO EPA
AFP

TIGER Woods menarik diri daripada latihan terakhir di Bethpage Black awal pagi tadi dalam usaha merehatkan badan sebelum memulakan usaha bagi memburu kejuaraan utama ke-16 pada Kejuaraan PGA edisi ke-101, awal pagi esok.

Pemain Amerika Syarikat berusia 43 tahun itu, yang menamatkan kemarau 11 tahun kejuaraan utama dengan memenangi Masters AS sebulan lalu, tidak bermain secara kompetitif sejak itu. Dia berlatih minggu lalu selama lebih lima jam di Bethpage dan berlatih sembilan lubang Isnin lalu.

“Pasti saya memerlukan kekuatan stamina minggu ini,” kata Woods kelmarin. “Empat hari pada kejohanan sukar akan menguji mental dan fizikal anda.”

Woods dijadualkan bermula di lubang ke-10 pada jam 8.24 pagi (12.24 tengah malam ini waktu Malaysia) di samping pemenang Terbuka British, Francesco Molinari dari Itali dan juara bertahan Brooks Koepka, yang memburu kejuaraan Terbuka AS kali ketiga berturut-turut di Pebble Beach bulan depan.

WOODS menamatkan badi kejuaraan utama di Augusta National, bulan lalu. — FOTO Reuters
WOODS menamatkan badi kejuaraan utama di Augusta National, bulan lalu. — FOTO Reuters

“Secara fizikal saya berasa amat bagus. Sesi latihan baik. Saya banyak berlatih akhir-akhir ini,” kata Woods kelmarin.

“Kami hadir ke sini minggu lalu, melihatnya secara terperinci dan menghabiskan banyak masa di sini. Ini bukan saja lapangan golf yang besar, tapi ia memberikan ujian yang getir kepada pemain.”

Woods boleh muncul pemain pertama sejak Jack Nicklaus pada 1975 memenangi Masters dan Kejuaraan PGA pada tahun sama, sekalipun ini kali pertama sejak 1949 PGA dianjurkan pada Mei, beralih daripada tradisi bulan Ogos.

Dia menjuarai Masters 2002 dan kemudian mengungguli Terbuka AS 2002 di Bethpage sebelum berkongsi tangga ke-28 pada Terbuka British.

Pemain ranking keenam dunia itu boleh kembali ke tangga nombor satu dunia buat kali pertama sejak Mac 2013 jika menjuarai PGA, dengan pemain nombor satu semasa Dustin Johnson berakhir secara solo di tangga ke-11 atau lebih teruk dan pemain ranking kedua Justin Rose dari England atau pemain ranking ketiga Koepka tidak berakhir di tangga kedua secara berseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 1:04 PM