WOODS meraikan kejayaan membenam birdie pada lubang ke-15 Augusta National, awal pagi tadi. — FOTO AFP
WOODS meraikan kejayaan membenam birdie pada lubang ke-15 Augusta National, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

PEMENANG gelaran utama Francesco Molinari, Louis Oosthuizen, Brooks Koepka, Jason Day dan Adam Scott berkongsi tangga teratas pada Masters AS selepas pusingan kedua awal pagi tadi namun Tiger Woods sekali lagi mencuri tumpuan di Augusta National.

Woods mengembalikan sorakan gemuruh di lapangan ternama itu dengan empat bawah par 68, meletakkannya dalam landasan untuk memburu Jaket Hijau kali kelima.

Pada kedudukan enam bawah par 138, pemain Amerika Syarikat itu hanya ketinggalan satu pukulan di belakang kelompok pendahulu.

Selepas permainan biasa pada sembilan lubang pertama dengan tiga birdie dan dua bogey, Woods mula bangkit apabila membenam tiga birdie untuk melonjak ke tangga teratas.

KE mana saja Woods pergi, ramai penonton akan mengikut untuk menyaksikan permainannya. — FOTO AFP
KE mana saja Woods pergi, ramai penonton akan mengikut untuk menyaksikan permainannya. — FOTO AFP

“Saya berasa seperti kembali bermain seperti cara saya sendiri pada kejohanan ini,” kata Woods. “Saya banyak bersabar hari ini, berasa terlalu bagus di luar sana melakukan apa yang sepatutnya.

“Ini kejohanan utama ketiga berturut-turut yang mana saya mampu bersaing jadi ia sesuatu yang bagus.”

Pentas terhidang bagi hujung minggu yang luar biasa ketika Woods cuba untuk menyarung Jaket Hijau pertamanya sejak 2005 sekali gus merangkul kejuaraan utama pertama sejak 2008.

Woods mula mempamerkan kebangkitan sejak kembali daripada pembedahan belakang hampir dua tahun lalu, meraih kejuaraan karier Jelajah PGA AS ke-80 pada kejohanan penamat musim lalu Kejuaraan Jelajah.

SCOTT antara lima pendahulu bersama selepas pusingan kedua Masters AS. — FOTO AFP
SCOTT antara lima pendahulu bersama selepas pusingan kedua Masters AS. — FOTO AFP

Bagaimanapun, hanya gelaran utama ke-15 mampu melenyapkan tanggapan pengkritiknya.

Ia juga mampu menyemarakkan semula impiannya mengejar rekod 18 gelaran utama milik Jack Nicklaus.

Awal pagi tadi, ia bagaikan masa lalu apabila pemain berusia 43 tahun itu mendapat tepukan gemuruh bagi setiap pukulannya, sorakan bergema di Augusta National apabila Woods menolak masuk birdie jarak jauh pada lubang ke-15 dan berterusan hinggalah dia berjalan keluar dari green ke-18 yang mana dia mengakhirinya dengan par.

Pertunjukan Woods membayangi segala-galanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 10:12 AM