PENERJUN wanita negara menjalani latihan di Wuhan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea.
PENERJUN wanita negara menjalani latihan di Wuhan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea.
Aida Adilah Mat

BARISAN penerjun negara bakal memulakan kempen mencari tiket kelayakan ke temasya Olimpik dengan menyertai Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea.

Acara terjun bakal membuka tirai Jumaat ini dan menjadi kejohanan pertama yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020.

Mempertaruhkan penerjun sama, skuad terjun negara masih lagi menyandarkan harapan kepada barisan sedia ada seperti Pandelela, Nur Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee, Wendy Ng, Ooi Tze Liang, Hanis Nazirul Jaya Surya, Jellson Jabillin dan Chew Yiwei.

Bagi penerjun berpengalaman, Leong Mun Yee dia hanya mahu melakukan yang terbaik bagi memastikan misi ke Olimpik buat kali kelima berturut-turut dapat direalisasikan.

Mun Yee ketika dihubungi bagaimanapun berkata, cabaran di Kejohanan Dunia kali ini cukup sengit berikutan kesemua penerjun yang beraksi mahu memastikan pingat dan melayakkan diri secepat mungkin ke temasya terbesar dunia itu.

"Kejohanan Dunia ini adalah kejohanan pertama menawarkan mata kelayakan ke Olimpik. Jadi saingan pasti sukar. Untuk mendapatkan pingat juga tidak mudah. Namun saya tetap akan berusaha memberi yang terbaik dan jika boleh menyumbangkan pingat buat negara," katanya yang dijangka akan beraksi dalam acara 10m terjun seirama.

Terdahulu skuad terjun negara berpangkalan di Wuhan, China selama sebulan untuk persediaan ke Gwangju.

Untuk memastikan tempat ke Olimpik setiap penerjun perlu berada dalam kelompok 18 terbaik dalam acara individu manakala dalam acara seirama mereka perlu menempatkan diri di kelompok tiga terbaik.

Selain Kejohanan Dunia turut menawarkan tempat ke Olimpik adalah Kejohanan Asia di Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September ini yang mana juara setiap acara akan layak secara automatik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 7:26 PM