MUN YEE sudah 26 tahun terbabit dalam sukan terjun. FOTO Owee Ah Chun
MUN YEE sudah 26 tahun terbabit dalam sukan terjun. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penerjun berpengalaman, Leong Mun Yee tetap dengan keputusannya untuk bersara daripada arena sukan negara selepas temasya Sukan Sea Vietnam hujung tahun ini.

Tiada apa yang boleh mengubah keputusannya kerana bagi atlet negara itu sudah sampai masanya untuk memberi fokus kepada kehidupan peribadi dan membina rumah tangga bersama pilihan hatinya selepas sekian lama tertangguh kerana komitmennya sebagai atlet.

Mun Yee, atlet yang tidak pernah lekang dengan senyuman dan sentiasa memberi kerjasama baik setiap kali diajukan soalan atau bertemu peminatnya berharap 2021 akan meninggalkan kenangan indah sebelum dia meninggalkan kerjaya sebagai atlet selepas 26 tahun terbabit dalam sukan terjun.

"Saya sudah tekad. Untuk tunggu sehingga Komanwel tahun depan mungkin tidak.

"Keputusan ini juga sudah disuarakan kepada MAS (Persekutuan Renang Malaysia) dan pada mulanya saya mahu bersara selepas Olimpik Tokyo, namun jika diminta untuk terus beraksi sehingga Sukan Sea Vietnam saya akan teruskan," katanya.

Mun Yee, 36, antara atlet terawal yang menempah tempat ke Olimpik Tokyo selepas berjaya meraih perak ketika beraksi di Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan dalam acara 10m seirama bergandingan bersama Pandelela Rinong.

Turut menerima tawaran sebagai model sambilan, Mun Yee pada awalnya terlebih dahulu beraksi dalam acara renang, namun

bertukar ke arena terjun pada usianya 10 tahun selepas terpilih menyertai program persediaan ke temasya Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Sepanjang kariernya dalam acara terjun, Mun Yee berjaya meraih satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Dunia, satu perak dan dua gangsa di temasya Komanwel, dua perak dan lima gangsa di Sukan Asia selain berjaya meraih 17 emas di temasya dwitahunan, Sukan Sea.

Atlet kelahiran Perak itu membuat penampilan pertamanya di temasya Olimpik 2000 Sydney, Australia dan kelimanya pada temasya Olimpik Tokyo Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 7:07 PM