HANNAH (kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM kali 203. -FOTO Ferzalfie Fauzi
HANNAH (kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM kali 203. -FOTO Ferzalfie Fauzi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah menyatakan beberapa hasrat mereka selepas berjumpa dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) termasuk meneruskan idea untuk mewujudkan organisasi terdiri daripada wakil badan induk itu dan agensi kerajaan bagi menyelia program sukan berprestasi tinggi.

Menteri Belia dan Sukan baharu, Hannah Yeoh melancarkan Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM kali ke-203 di mana beliau berjumpa dengan presiden organisasi berkenaan Tan Sri Norza Zakaria.

Norza berkata MOM mencadangkan idea itu tahun lalu walaupun ia tidak dapat meneruskan semasa Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi sebagai Menteri Belia dan Sukan.

"Saya membangkitkan isu ini dengannya (Hannah) pagi ini dan berkata yang kita perlu menyusun satu struktur yang bebas daripada permasalahan politik.

"Ini bagi memastikan perancangan jangka sederhana dan panjang kita tidak terganggu oleh perubahan politik (seperti yang berlaku sebelum ini). Reaksi awalnya, adalah positif dan kami berharap beliau kekal (sebagai menteri Belia dan Sukan) untuk lima tahun supaya perancangan itu dapat berjalan lancar," katanya.

Pada November tahun lalu, MOM mencadangkan penubuhan organisasi dan cadangan itu pernah disuarakan bekas Menteri KBS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika 'post mortem' sebaik tamat Sukan Olimpik Tokyo 2020.

MOM mencadangkan sebuah organisasi terdiri daripada wakil badan induk itu dan agensi kerajaan ditubuhkan bagi menyelia program sukan berprestasi tinggi terutamanya bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 4:18 PM