NORZA ketika sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM Kedua di Wisma OCM hari ini. FOTO Bernama
NORZA ketika sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM Kedua di Wisma OCM hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mencadangkan penubuhan organisasi yang menyelia sukan berprestasi tinggi dalam menghadapi temasya besar seperti Sukan Olimpik bagi mengelak gangguan perubahan struktur kerajaan ataupun politik.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, cadangan berkenaan adalah idea yang dilontarkan mantan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican agar peranan MOM harus dipertingkatkan apabila bercakap mengenai sukan berprestasi tinggi.

"Menteri Belia dan Sukan sebelum ini mengatakan peranan MOM akan dipertingkatkan atau diperbesarkan bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028. Ia termasuk peranan pihak swasta dalam menyumbang ke arah sukan berprestasi tinggi," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM Kali Kedua Sesi 2021-2025 hari ini.

Menurut beliau, organisasi berkenaan bukan saja membabitkan MOM, malah turut akan diwakili agensi kerajaan lain supaya bertanggungjawab memantau sukan berprestasi tinggi terutama dalam menghadapi Paris 2024.

"Organisasi ini akan mempunyai perancangan jangka sederhana dan panjang dengan tidak diganggu-gugat oleh perubahan struktur kerajaan dan politik. Ia sangat penting untuk memenuhi aspirasi 2024 dan 2028. Ia bakal dianggotai Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan.

"Jadi ia tidak perlu melakukan kerja yang berulang (apabila berlakunya pertukaran kerajaan). Untuk pengetahuan semua beberapa tahun kebelakangan ini kita mempunyai tiga menteri. Jadi setiap menteri (baru) datang akan ada perubahan. Kita bercakap mengenai sukan berprestasi tinggi yang membolehkan memaksimumkan penggunaan wang ringgit.

"Pihak swasta juga pada mulanya lebih ke arah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tapi sekarang mereka sudah tentu mahu melihat dari segi pulangan pelaburan (ROI). Apa yang mereka mahu sudah tentu dapat dilihat lebih holistik di mana bebas daripada sebarang pertukaran politik dan birokrasi sekali gus dapat fokus kepada petunjuk prestasi utama (KPI) agar menyamai standard dunia.

"Biar tidak ada campur tangan hanya fokus kepada Paris 2024 dan Los Angeles 2028. Saya harap ia dipertimbangkan untuk ke arah kebaikan industri sukan. Kita harus lihat sistem sedia ada relevan atau tidak, tersekat disebabkan birokrasi atau tidak. Biar ada sistem yang boleh melindungi sebarang perubahan selagi tidak sampai ke arah matlamat ditetapkan," katanya.

Mesyuarat berkenaan juga meluluskan bekas ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas sebagai ahli bebas dalam Jawatankuasa Pemilihan bagi menggantikan Datuk Sieh Kok Chi yang memohon untuk mengundur diri atas faktor kesihatan. Selain Zainal turut berada dalam jawatankuasa berkenaan sebagai ahli bebas ialah bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 9:35 PM