Firdaus Hashim & Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penganjuran Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro memberi ruang dan peluang kepada atlet paralimpik untuk lebih dikenali serta dihargai oleh peminat sukan tanah air.

Juara Paralimpik Tokyo 2022 Cheah Liek Hou berkata, inisiatif Harian Metro memperkenalkan anugerah berkenaan juga menjadi pemangkin atau peniup semangat kepada atlet muda mencipta kejayaan sekali gus segala penat lelah mereka terasa lebih dihargai.

Berikutan itu, Liek Hou berkata, dia tidak mahu terlepas peluang menyertai siri jelajah terakhir AIS supaya dapat beramah mesra bersama peminat sukan tanah air selain mempromosikan dirinya sebagai 'top 5' calon Ikon Sukan Paralimpik.

"Saya berterima kasih kepada Harian Metro kerana memberi peluang kepada atlet paralimpik untuk turut serta sebagai calon dalam AIS.

"Hal ini kerana, kita mahu pastikan atlet paralimpik lebih dikenali dan dihargai kerana mereka juga turut menyumbang kepada negara.

"Peminat atau penyokong cukup penting kerana mereka adalah pembakar semangat kepada atlet untuk berjaya di peringkat lebih tinggi," katanya, ketika ditemui pada siri jelajah terakhir AIS di pusat membeli belah Sunway Velocity, di sini, sebentar tadi.

Mengikut rekod, Liek Hou merangkul gelaran perseorangan lelaki ketujuhnya pada Kejohanan Para Badminton Dunia bulan lalu antara lima finalis akan berentap bagi menentukan siapa layak digelar sebagai Ikon Sukan Paralimpik.

Liek Hou akan bersaing dengan empat nama besar lain antaranya jaguh lompat jauh paralimpik negara, Datuk Abdul Latif Romly, atlet powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin, pemanah para, Nur Jannaton Abdul Jalil dan perenang para kebangsaan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli.

Selain itu, Liek Hou yang berusia 34 tahun berkata, peluangnya untuk bergelar Ikon Sukan Paralimpik tetap ada walaupun mendapat tentangan sengit daripada atlet lain.

"Tersenarai dalam lima terbaik pun boleh dianggap terbaik kerana pesaing lain cukup hebat namun kita tidak tahu rezeki boleh bergelar Ikon Sukan Paralimpik pada majlis kemuncaknya pada 8 Januari depan," katanya.

Pengunjung melawat gerai penaja UKMShape ketika Siri jelajah AIS Harian Metro 2022 di Sunway Velocity semalam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Pengunjung melawat gerai penaja UKMShape ketika Siri jelajah AIS Harian Metro 2022 di Sunway Velocity semalam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 5:53 PM