Firdaus Hashim & Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehangatan Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro semakin dirasai apabila penganjurannya sudah memasuki fasa 'pecutan terakhir' menerusi siri jelajah kedua bertempat di ibu kota.

Sudah pastinya siri jelajah terakhir penaja utama AIS yang mahu memastikan anugerah terbabit terus mendapat sambutan sehingga ke kemuncak acara pada awal bulan depan.

Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Ena Suhaila Abas berkata, siri jelajah terakhir AIS ini adalah platform terakhir untuk atlet beramah mesra bersama peminat sukan tanah air.

"Gardenia sebagai penaja utama sentiasa memberikan sokongan padu kepada Harian Metro dalam mempromosikan AIS kepada umum.

"Sambutan yang diterima cukup menggalakkan dan berharap momentum ini diharapkan dapat diteruskan sehingga ke malam kemuncak pada 8 Januari depan," katanya, ketika ditemui pada siri jelajah terakhir AIS di pusat membeli belah Sunway Velocity, di sini, sebentar tadi.

Selain Gardenia, turut memeriahkan lagi siri jelajah terbabit adalah penaja bersama iaitu CIMB apabila turut menyediakan cabutan bertuah buat pengunjung yang hadir.

CIMB turut komited bersama penaja lain dan Harian Metro dalam usaha meningkatkan lagi martabat atlet tanah air dengan menerusi pengiktirafan pada penganjuran AIS.

Malah, UKMShape yang juga rakan penaja turut tampil bagi memeriahkan program berkenaan yang diserikan dengan kehadiran beberapa atlet terkenal tanah air.

Ketua Bahagian Pemasaran UKMShape, Jureena Nordin berkata, pihaknya berbesar hati berpeluang menjadi antara tunjang menjayakan anugerah berkenaan dalam usaha memartabatkan lagi atlet negara.

Beliau berkata, pembabitan UKMShape juga diharap dapat menjayakan AIS yang dianggap platform terbaik meningkatkan industri sukan tempatan.

"Saya lihat siri jelajah terakhir ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat sekali gus ia mampu meningkatkan lagi undian orang ramai terhadap atlet pilihan mereka.

"Ini adalah pembabitan pertama UKMShape terhadap program atau anugerah seumpama ini yang dilihat turut akan meningkatkan lagi nama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya.

Mengikut rekod, malam kemuncak AIS Harian Metro yang akan berlangsung 8 Januari depan akan bersiaran secara langsung di saluran televisyen, TV9, termasuk saluran YouTube TV9 dan Harian Metro serta laman web AIS di www.hmetro.com.my/ais, pada jam 8.30 malam.

AIS bakal menobatkan Ikon Sukan Terbaik yang dipilih dalam kalangan calon Top 5 yang memperoleh undian tertinggi membabitkan lapan kategori iaitu Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Paralimpik, Ikon Sukan Jurulatih, Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Ikon Sukan Kepimpinan, Ikon Sukan Harapan dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Acara sama turut memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada bekas atlet sebagai menghargai jasa dan sumbangannya dalam pembangunan industri sukan tempatan melalui kategori khas, Anugerah Ikon Sukan Lagenda.

Pengunjung melawat gerai penaja UKMShape ketika Siri jelajah AIS Harian Metro 2022 di Sunway Velocity semalam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Pengunjung melawat gerai penaja UKMShape ketika Siri jelajah AIS Harian Metro 2022 di Sunway Velocity semalam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 6:06 PM