MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bersama atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou (kiri) yang memenangi anugerah Atlet Para Terbaik pada Majlis Anugerah Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 100 Plus 2022 di Sunway Resort, malam tadi. FOTO BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bersama atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou (kiri) yang memenangi anugerah Atlet Para Terbaik pada Majlis Anugerah Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 100 Plus 2022 di Sunway Resort, malam tadi. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tiga anugerah yang diraih tahun ini di Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro, Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 dan Anugerah SAM-100Plus 2022 bakal menjadi pembakar semangat buat jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou untuk merampas kembali emas di Sukan Para Asia di Hangzhou Oktober depan.

Menurut pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu berkata, dia akan menyertai satu lagi kejohanan di Australia sebelum temasya Para Asia membuka tirainya.

"Kejohanan itu 10 hari sebelum ke Para Asia. Kejohanan ini akan menjadi pemanas badan untuk persediaan saya ke Para Asia," kata Liek Hou yang menjangkakan saingan kali ini bakal menjadi lebih sengit.

Kali terakhir Liek Hou meraih kilauan pingat berkenaan adalah dalam acara perseorangan SU5 di Incheon 2014 sebelum akur dengan meraih gangsa pada edisi selepas itu di Indonesia 2018 yang menyaksikan emas dan perak masing-masing menjadi milik atlet tuan rumah, Dheva Anrimusthi dan Suryo Nugroho.

"MSN (Majlis Sukan Negara) meletakkan sasaran ke final, kalau boleh menjadi juara. Namun saya tak akan memberikan tekanan kepada diri saya kerana Sukan Para Asia ini, saya pernah menang dan akan cuba sedaya upaya untuk dapatkan prestasi serta kondisi yang bagus untuk melakar kemenangan.

"Seperti biasa, sama seperti di Sukan Para Asean, Para Asia ataupun Paralimpik, seteru paling kuat di kategori saya adalah Indonesia. Namun saya juga tak boleh memandang rendah negara lain kerana saya boleh lihat peningkatan mereka pada tahun ini," katanya.

Tambahnya, ada peningkatan dalam kalangan pemain dalam kategori yang disertainya terutama dari segi semangat juang dan peningkatan permainan.

Pada awal bulan ini, Liek Hou meraih kejuaraan ketiga berturut-turut pada tahun ini apabila menjuarai Kejohanan Antarabangsa Empat Negara di Sheffield, England selepas menewaskan pencabarnya dari Indonesia, Dheva 21-18, 21-10 pada aksi final.

Ia adalah gelaran ketiga berturut-turunya selepas kejayaan di Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Bahrain dan Kanada dan secara keseluruhannya, dia sudah merekodkan lima kejuaraan sepanjang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 12:55 PM