AIMAN pamer prestasi terbaik di Tour Of Iran. FOTO TSG
AIMAN pamer prestasi terbaik di Tour Of Iran. FOTO TSG
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff, menjadi pelumba terakhir disenaraikan pasukan terbaik Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dalam mengharungi saingan LTdL 2022 yang dijadualkan bermula Selasa ini.

Pelumba paling muda TSG berusia 25 tahun itu yang merangkul Jersi Merah ketika mewakili Team Sapura Cycling (TSC) adalah sandaran terbaik pasukan itu untuk sekali lagi bergelar Raja Bukit dalam LTdL edisi ke-26.

Terdahulu barisan kejurulatihan TSG 'pening' memilih pelumba terakhir bagi melengkapkan senarai enam pelumba yang bakal menggalas cabaran dalam perlumbaan paling berprestij di rantau ini selepas persaingan sengit antara Nur Aiman dan pelumba berpengalaman, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki.

Situasi itu dinyatakan Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus yang mengakui barisan kejurulatihan terpaksa membuat keputusan sehingga 'minit terakhir' memandangkan kedua-dua pelumba itu memiliki kelebihan yang tersendiri.

"Bahagian kejurulatihan TSG memutuskan Nur Aiman menjadi pelumba terakhir disenaraikan bagi menggalas cabaran pasukan TSG dalam perlumbaan LTdL.

"Pemilihan pelumba berasal dari Setiu itu selepas dia berjaya memperagakan prestasi yang baik dan memberangsangkan ketika Tour Of Iran - Azerbaijan baru-baru ini dengan merangkul tempat kedua pada peringkat pertama dan peringkat kelima sekali gus TSG meraih tiga podium termasuk menerusi seorang lagi pelumba import dari Ukraine, Anatoliy Budiak.

"Kehadiran Nur Aiman dilihat mampu sekali lagi menggegar pentas LTdL kali ini untuk merangkul Raja Bukit iaitu Jersi Merah walaupun pasti cabaran sengit bakal dilalui, begitu juga dengan lima lagi pelumba yang disenaraikan diharapkan mampu menghadirkan keceriaan buat kem pasukan," katanya ketika dihubungi.

Selain Nur Aiman, lima lagi pelumba yang disenaraikan termasuk pelumba sensasi, Mohd Harrif Saleh, Youcef Reguigui, Budiak, Metkel Eyob dan Jambaljamtsz Sainbayar.

"Kita menyasarkan podium dan juara keseluruhan perseorangan bagi merebut jersi kuning, kita percaya dengan kebolehan enam pelumba yang disenaraikan itu, ianya mampu memberikan keceriaan buat kem pasukan lebih-lebih lagi beraksi di bumi sendiri," katanya.

LTdL kali ini menghidangkan lima pendakian daripada keseluruhan lapan peringkat perlumbaan bermula di Kuala Pilah ke Kuala Lumpur dengan jarak 157.3 kilometer (km) manakala peringkat terakhir di Pulau Langkawi sejauh 115.9 km.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 11:40 AM