HARRIF melanggar peraturan perlumbaan di peringkat kelima semalam. FOTO Bernama
HARRIF melanggar peraturan perlumbaan di peringkat kelima semalam. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Alor Setar: Ketiadaan jaguh pecut negara, Mohamed Harrif Salleh di peringkat keenam Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari Georgetown ke Alor Setar hari ini terjawab apabila pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling (TSG) itu tersingkir daripada saingan.

Harrif dikatakan melanggar peraturan perlumbaan apabila berpaut pada kenderaan ketika perlumbaan peringkat kelima semalam dari Kuala Kangsar ke Kulim.

Ia mengakibatkan TSG kini bergantung harap kepada empat orang pelumba pada baki dua perlumbaan lagi yang akan berlangsung esok dan lusa di Pulau Langkawi.

Sebelum ini mereka turut kehilangan seorang pelumba, Youcef Reguigui ketika peringkat keempat kerana terbabit dalam kemalangan.

"Perlumbaan hari ini sukar kerana kami tiada pakar pecut selepas kehilangan Harrif, jadi misi kami untuk memastikan semua pelumba masih ada dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat.

"Dia mengalami kesukaran ketika di zon pendakian semalam di Bukit Sumpitan dan dia berpaut terhadap salah sebuah kereta pasukan, tetapi bukan pasukan kami, ia bukanlah salah ahli kru pasukan tetapi penganjur sudah memutuskan Harrif tersingkir, jadi kami akan cuba teruskan juga baki perlumbaan," jelas Pengarah Sukan TSG, Danny Feng.

Bagaimanapun, TSG kini masih unggul untuk memegang dua jersi iaitu jersi putih, pelumba terbaik Asia menerusi Jambaljamts Sainbayar dan Muhammad Nur Aiman Zhariff yang menyarung jersi merah, Raja Bukit.

Perlumbaan esok akan bermula dari Pekan Kuah dan tamat di puncak Gunung Raya dengan jarak sejauh 90.8 kilometer bakal menjadi penentu memandangkan zon dakian ke gunung tersebut diletakkan dalam kategori 1 dengan ketinggian setinggi 864 meter.

Aiman kini berkongsi mata dengan Jambaljamts dalam perebutan jersi merah memandangkan kedua-dua pelumba kini terikat 29 mata.

"Saya perlu bekerja keras seandainya idam untuk mempertahankan jersi ini sehingga ke perlumbaan akhir, kerana perlumbaan hari ini hanya ada dua zon pendakian, dan siapa yang dapat menakluk Gunung Raya bakal mendapat kelebihan besar.

"Jika saya tak berupaya untuk melakukannya, jadi perlumbaan terakhir iaitu peringkat kelapan, saya kena tawan dua daripada zon pendakian (Lebuhraya Langkawi) yang ditawarkan, jadi ia satu tugas yang mencabar juga," jelas Aiman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 4:05 PM