NUR Aiman (dua kiri) berdiri gah bersama pelumba handalan dunia yang lain.
NUR Aiman (dua kiri) berdiri gah bersama pelumba handalan dunia yang lain.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan cemerlang pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang melabuhkan tirainya minggu lalu mendapat pujian daripada kerajaan negeri.

Kerajaan negeri menyifatkan tiga kejayaan diraih dalam pentas berprestij itu adalah pencapaian begitu membanggakan bukan sahaja negeri malah negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kejayaan berkenaan membuktikan pasukan terbaik Asia itu mampu bersaing di pentas dunia.

"Kerajaan negeri begitu bangga dengan pencapaian cemerlang pelumba TSG pada pentas LTdL di bumi sendiri yang berakhir minggu lalu. Kejayaan cemerlang itu sebenarnya tidak datang bergolek, sebaliknya usaha keras pelumba berkenaan selain kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung termasuk penaja.

"Kita mengharapkan kejayaan mereka itu mampu menyuntik semangat buat pelumba lain dan juga sukan-sukan lain bagi meletakkan Terengganu sebagai kuasa besar sukan dalam negara secara konsisten.

"Pada masa sama juga kerajaan negeri tidak akan sesekali mengabaikan kebajikan atlet selain sentiasa peka dengan pembangunan sukan termasuk mengadakan kejohanan Sukan Terengganu (Sutera)," katanya ketika ditemui selepas hadir dalam Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) di Merchang, Marang, semalam.

Dalam perlumbaan jelajah tertua Asia edisi ke-26 itu yang menampilkan cabaran berliku berikutan kehadiran banyak pasukan Jelajah Dunia dan Profesional Benua, pasukan TSG tetap gah menampilkan saingan sengit pada perlumbaan lapan peringkat itu.

TSG meraih jersi Raja Bukit menerusi pelumba kelahiran Setiu, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff Muhammad selepas menakluk enam daripada 19 zon pendakian bermula daripada peringkat kedua LTdL dan menyaksikan jersi Raja Bukit kekal disarungnya sehingga ke peringkat kemuncak.

Lebih manis, kejayaan itu turut memahat sejarah buat Nur Aiman apabila berjaya mempertahan gelaran Raja Bukit yang dimenanginya pada LTdL edisi ke-25 pada 2020.

Rakan sepasukannya kelahiran Mongolia, Jambaljamts Sainbayar unggul selepas menyarung jersi Pelumba Terbaik Asia selain TSG turut meraih gelaran Pasukan Asia Terbaik pada perlumbaan LTdL sejauh 1,105.1 kilometer (km) ituselepas berada di kedudukan keenam terbaik daripada 20 pasukan yang bertanding.

Berdasarkan rekod, edisi LTdL 2020, TSG merangkul gelaran tiga pelumba terbaik menerusi raja pecutnya, Mohd Harrif Saleh yang turut meraih gelaran dua kali podium nombor satu pada peringkat kelima dan ketujuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 12:32 PM