NURUL Syasya (kanan) bersama Hazeq Haqeem menang pingat emas acara 10m air pistol campuran, hari ini.
NURUL Syasya (kanan) bersama Hazeq Haqeem menang pingat emas acara 10m air pistol campuran, hari ini.
Affan Rostam


Subang Jaya: Status sebagai penembak kebangsaan membuatkan Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin sukar dicabar apabila dia meraih pingat emas dalam semua empat kategori disertainya pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Ia boleh dikatakan sebagai penamat sempurna buat penembak Johor berusia 20 tahun itu memandangkan ini adalah temasya Sukma terakhirnya.

Nurul Syasya berkata, dia bersyukur selepas berjaya menjadi antara penyumbang pingat emas buat kontinjen Johor dan ia membuktikan usaha dilakukan selama ini berbaloi.

"Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian di Sukma ini. Saya menang emas dalam acara 25 meter (m) sport pistol berpasukan, 10m air pistol wanita individu dan berpasukan serta 10m air pistol campuran.

"Selepas ini ada program untuk kelayakan Olimpik Paris 2024 pada Oktober iaitu Kejohanan Dunia di Mesir," katanya.

Nurul Syasya melengkapkan pungutan empat pingat emas peribadi di pentas Sukma kali ini selepas mengungguli acara 10m air pistol campuran bersama Hazeq Haqeem Azmi di Lapang Sasar Menembak Nasional, Subang, hari ini.

Pasangan itu menewaskan wakil Sarawak, Justin Joannes Anak Kelukin dan Law Wen Xuen, 16-12 di final manakala, gangsa milik Sarah Aneesa Mazwan dan Hakimi Zulkifli dari Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Hazeq mengakui bersyukur apabila menamatkan temasya dengan bergaya selepas empat acara sebelum ini tidak memuaskan hatinya.

"Ini pingat emas pertama saya untuk Sukma 2022 ini. Saya sertai lima acara, tapi empat acara sebelum ini tidak memuaskan.

"Apabila masuk dalam acara campuran ini kadang-kadang rasa takut jadi beban dekat Syasya sebab semua orang tahu dia berada di tahap lain. Alhamdulillah kami menang," katanya.

Dalam acara 50m rifle 3 positions berpasukan lelaki, emas menjadi milik Selangor selepas gandingan Haritz Iklil Hessly Hafiz, Muhammad Hafiz Zulkifli dan Muhammad Syukri Zulkifli meraih mata tertinggi (1,693).

Pingat perak dirangkul pasukan Negeri Sembilan yang merekodkan 1,646 mata, manakala pasukan Pahang meraih gangsa (1,644 mata).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 5:07 PM