SYASYA menjelaskan bahawa pada mulanya WUG tiada berada dalam perancangannya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
SYASYA menjelaskan bahawa pada mulanya WUG tiada berada dalam perancangannya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Aida Adilah Mat

[email protected]

Kuala Lumpur: Penembak negara, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin mahu menjadikan pentas Sukan Universiti Dunia (WUG) 2023 di Chengdu, China sebagai medan memanas badan sebelum temasya Sukan Asia, Hangzhou, China September ini.

Syasya yang menjadi atlet harapan terbaik Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro itu berkata, sasarannya kini adalah untuk meletakkan diri dalam kedudukan lapan terbaik di Sukan Asia nanti.

Dia yang akan beraksi dalam acara 10 meter (m) air pistol wanita individu bagaimanapun menjelaskan bahawa pada mulanya WUG tiada berada dalam perancangannya namun dipanggil oleh pihak Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk beraksi di WUG kali ini.

"Memang pada mulanya WUG tiada dalam perancangan saya, tapi saya ambil tanggungjawab ini dan akan berusaha untuk berikan yang terbaik.

"Sebenarnya ia bagus juga untuk saya sebagai persediaan sebelum ke Sukan Asia. Jadi saya harap penyertaan di WUG ini dapat menguji kemampuan dan melihat tahap keupayaan saya," katanya yang juga dijadualkan beraksi di Baku sebelum ke Sukan Asia.

Mengulas mengenai cabaran yang akan diterima, Syasya berkata, persaingan pastinya akan diterima daripada penembak China yang mana mereka sebelum itu turut menyertai di kejohanan luar.

Selain acara individu Syasya yang juga penuntut UPNM akan turut beraksi dalam acara 10m pistol berpasukan bergandingan bersama-sama Anis Ayuni Ahmad Khairi (UPNM) dan Dina Batrisya Adi Azhar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Terdahulu dalam aksinya di Sukan Sea Vietnam 2021, atlet berusia 23 tahun itu menjelmakan pingat emas buat negara dalam acara 10m air pistol, menewaskan penembak Olimpik Thailand, Tanyaporn Prucksakorn yang meraih perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 2:53 PM