AKSI sebahagian peserta acara menembak di Kompleks Menembak Darul Ridzuan, Ipoh. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
AKSI sebahagian peserta acara menembak di Kompleks Menembak Darul Ridzuan, Ipoh. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat


WALAUPUN baru setahun aktif dalam sukan menembak, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin membuktikan ia bukan penghalang apabila bukan sahaja meraih dua pingat emas tetapi juga meleburkan rekod Sukan Malaysia (SUKMA) di Kompleks Menembak Darul Ridzuan, hari ini.

Permata baharu skuad menembak Johor itu berjaya melakukan bidikan 562 mata dalam acara 10m air pistol individu sekali gus  memecahkan rekod 18 tahun milik penembak Kuala Lumpur, Siti Sarah Mohd Ibrahim pada temasya Pulau Pinang 2000 dengan catatan 375 mata. 

Pingat perak dimenangi penembak Selangor, Dina Batrisyia Adi Azhar dengan 559 mata dan penembak Pahang, Nur Natasha Shahira Rosli ketiga (558 mata).

Acara 10m air pistol berpasukan pula menyaksikan Syasya yang bergandingan dengan Khairunnabiha Baharin dan Mumtazah Syahiidah Shamsuri merekodkan 1,639 mata untuk mencatat rekod baharu temasya yang sebelum ini dilakar pasukan Pahang, Noreffani Abdul Malick, Nik Nur Nadhirah dan Siti Nur Masitah M Badrin pada temasya Kedah 2006 (1,104 mata). 

Pingat perak dimenangi pasukan tuan rumah (Anis Ayuni Ahmad Khairi, Nor Aisyah Azmee, Nurul Izzah Ahmad Khairi) dengan 1,633 mata dan gangsa milik pasukan Sarawak (Beatrice Thieadro Lises, Delphine Chung Qi, Stephanie Sim) dengan 1,630 mata.

"Ini SUKMA pertama buat saya dan saya bersyukur sangat dapat emas. Lagipun sebelum ini saya jarang memperoleh emas jika bertanding dalam sirkit kebangsaan, jadi kemenangan hari ini cukup bermakna buat saya," kata Syasya.

Syasya yang baru berusia 16 tahun berkata, minatnya dalam sukan itu timbul selepas ayahnya, Mohd Arifin Sobikin dan ibunya, Zainorida Ngarip bergiat aktif bersama Persatuan Menembak Batu Pahat.

Dalam acara menembak hari ini, Pahang menambah tiga pungutan emas menerusi 50m rifle prone berpasukan lelaki (Izzuddin Muhammad Shafri, Muhammad Al-Zawawie Benhar dan Muhammad Azril Hakim Nor Azman), 25m standard pistol berpasukan lelaki (Azrul Akmal Zulkefli, Low Wei Chern dan Muhammad Ridwan Awaluddin) dan  Izzuddin Muhammad Shafri (50m rifle prone individu lelaki).

Info

Nama: Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin

Umur: 16 tahun

Asal: Batu Pahat, Johor

Sekolah: SMK Datuk Onn, Batu Pahat

Kontinjen: Johor

Sukan: Menembak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 5:49 PM