EMMA ketika menjalani latihan di Seoul. FOTO AFP
EMMA ketika menjalani latihan di Seoul. FOTO AFP
Agensi

Seoul: Bintang tenis Britain, Emma Raducanu bersedia untuk turun beraksi di Seoul minggu ini dan dalam masa sama mendedahkan dia adalah peminat drama serta makanan Korea.

Emma, 19, akan membuat penampilan sulung minggu ini di Terbuka Korea di Seoul.

Dia yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2021, mendedahkan mempunyai kawan baik dari Korea.

"Ya, ini kali pertama saya ke Korea namun anda mungkin hendak tahu saya mempunyai banyak benda menarik untuk diceritakan.

"Kawan baik saya adalah dari Korea, dia yang menyebabkan saya terjebak dengan 'K-Drama'. Makanan Korea juga adalah kegemaran saya.

"Disebabkan ibu saya membesar di China, banyak makanan Korea yang diketahuinya kerana negara berkenaan berdekatan dengan sini. Jadi saya tidak sabar untuk melihatnya sendiri," kata Emma.

Selepas tumpas awal di Terbuka AS, Emma kembali menyambung aksi di Portoroz.

Dia memulakan aksi dengan kemenangan sebelum mengalami kekalahan mengejut kepada Anna-Lena Friedsam di pusingan 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 2:15 PM