ARYNA juara bertahan Terbuka Shenzen. FOTO Agensi
ARYNA juara bertahan Terbuka Shenzen. FOTO Agensi
Reuters

JUARA bertahan, Aryna Sabalenka memulakan musim 2020 dengan bergaya selepas menewaskan pemain kelayakan dari Russia, Margarita Gasparyan 6-3, 6-0 pada pusingan pertama Terbuka Shenzen, hari ini.

Pemain Belarus itu yang memenangi kejuaraan di Wuhan dan Zhuhai tahun lalu hanya memerlukan 71 minit dengan lima kali mematahkan servis Margarita untuk mara ke saingan 16 terakhir.

"Saya gembira memulakan musim dengan menang dua set,” katanya selepas tamat perlawanan. "Ia perlawanan sukar dan memang sukar memulakannya. Dia pemain hebat dan mempunyai pukulan yang kuat.”

Aryna akan berdepan pemain Republik Czech, Kristyna Pliskova yang menewaskan pemain Romania, Irina-Camelia Begu 6-3, 6-3.

Pilihan keenam, Garbine Muguruza bangkit menewaskan pemain China, Wang Xin Yu 3-6, 6-3, 6-0 manakala Aliaksandra Sasnovich turut mara selepas membenam cabaran pemain Jerman, Anna-Lena Friedsam 6-2, 6-3.

Dalam pertarungan membabitkan dua pemain Amerika Syarikat, Shelby Rogers menewaskan Nicole Gibbs 6-3, 5-7, 6-4 dalam aksi berlanjutan dua jam 33 minit manakala pilihan keempat yang juga harapan tuan rumah, Wang Qiang mengatasi pemain Tunisia, Ons Jabeur 6-0, 6-3.

Pilihan ketujuh, Elena Rybakina dari Kazakhstan menewaskan pemain China, Zheng Saisai 6-2, 1-6, 6-2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 6:42 PM