EUGENIE mahu terus cemerlang di Australia.
EUGENIE mahu terus cemerlang di Australia.

Melbourne: Pemain nombor tujuh dunia, Eugenie Bouchard kembali menyertai Terbuka Australia minggu ini selepas melakukan kejutan tahun lalu dan berusaha meningkat ke satu tahap pada kejohanan yang menyerlahkan kariernya.

Pemain glamor Kanada itu sekadar pemain remaja tidak dikenali sebelum Terbuka Australia tahun lalu, namun mencuri tumpuan dunia apabila dia layak ke separuh akhir sebelum kecundang di tangan juara Li Na.

Satu lagi penampilan separuh akhir menyusul pada Terbuka Perancis dan pemain berusia 20 tahun itu mara ke final Wimbledon tanpa kalah sebarang set sekali gus memartabatkan dirinya dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Dia muncul pemain kesayangan penonton di Melbourne Park, disorak pasukan ‘Eugenie Army’ dan berkata, gelanggang itu kekal istimewa buatnya.

“Ini kejohanan paling hebat tahun lalu, ia memulakan tahun hebat buat saya.”

“Saya berjaya meraih banyak pengalaman, perlawanan besar, situasi lebih tertekan. Seronok dapat kembali, banyak memori di sini, di gelanggang latihan, dalam bilik persalinan, bilik wartawan,” ujarnya.

Namun Eugenie berkata, memori tidak mampu menjadikannya juara dan dia perlu bermula dari kosong semula apabila menentang pemain Jerman, Anna-Lena Friedsam pada pusingan pertama hari ini.

Dia sedar ramai pemain muda sering bergelut dengan harapan tinggi terhadap mereka selepas musim pertama yang cemerlang, sesuatu yang berusaha dielakkannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 6:42 AM