KONTINJEN UiTM Melaka ceria pada majlis penyerahan bendera Karista 2022 sebelum berlepas ke Terengganu. FOTO NAZRI ABU BAKAR
KONTINJEN UiTM Melaka ceria pada majlis penyerahan bendera Karista 2022 sebelum berlepas ke Terengganu. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka mensasarkan tiga emas pada Karnival Sukan Staf (Karista 2022) UiTM Malaysia yang bakal berlangsung esok sehingga 30 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) kampus terbabit Mazlan Salleh berkata, kejohanan yang diadakan di UiTM Terengganu itu amat berprestij dalam kalangan staf kerana ia menyerlah bakat atlet untuk terpilh mewakili UiTM di Sukan Staf Antara Universiti (Sukum 2022) kelak.

Katanya, dengan persiapan yang amat baik diyakini atlet mampu memfokuskan aksi terbaik selepas kali akhir kejohanan di UiTM Sarawak dua tahun lalu susulan pandemik Covid-19.

Katanya, Melaka akan menyertai 10 acara antaranya bola sepak veteran dan senior selain badminton, petanque, golf, bola tampar (lelaki dan wanita, bola jaring, dart dan bowling.

"Walaupun menyedari saingan amat getir daripada kontinjen yang bertanding termasuk tuan rumah Terengganu, Shah Alam, Johor, Pahang, Perlis, Kedah Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Perak, Puncak Alam, Pulau Pinang dan Kelantan namun komitmen dan semangat tinggi atlet diharap mampu menjadi kenyataan.

"Kali ini kami menghantar 97 atlet dan 15 pegawai yang memiliki semangat juang yang tinggi untuk menampilkan persembahan terbaik masing masing," katanya pada majlis penyerahan bendera oleh Rektor UiTM Melaka, Profesor Madya Ts Dr Mohd Rasdi Zaini kepada ketua kontinjen, Ahmad Khairuman Md Hasim, di Lendu.

Sementara itu, Rasdi berkata pengurusan UiTM Melaka sentiasa menyokong perjuangan atlet untuk beraksi pada tahap maksimum dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Beliau berkata, dalam masa sama kejohanan berkenaan sebagai medan mengeratkan hubungan silaturahim dan persaudaraan yang tinggi dalam kalangan staf UiTM di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 4:38 PM