SABARIAH (tengah) menyerahkan bendera negeri kepada kontinjen UiTM Melaka.
SABARIAH (tengah) menyerahkan bendera negeri kepada kontinjen UiTM Melaka.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka berdepan halangan getir mempertahankan kejuaraan Kejohanan Sukan Staf UiTM Malaysia (KARISTA) bermula semalam hingga 5 Mei 2017 di kampus induk UiTM Shah Alam.

Ketua Kontinjen UiTM Melaka, Dr Ismadi Md Badarudin berkata, persiapan rapi semua kontinjen termasuk UiTM Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Johor, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang pastinya memberi cabaran berliku untuk mengulangi kejayaan 2016 di Perak.

UiTM Melaka hanya menyertai 9 acara daripada 12 kategori sukan yang dipertandingkan namun ianya bukan halangan untuk meraih kejayaan.

Menurutnya, antara sasaran pingat emas termasuk dalam acara bola tampar lelaki dan wanita, bola sepak veteran, dart dan bola jaring selain pingat perak dalam beberapa acara termasuk pingpong dan badminton.

Menurutnya, latihan agresif sejak lebih dua bulan lalu termasuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Jabatan Audit Negara, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Institut Perguruan Tun Hussien Onn, Batu Pahat dan Jabatan Ketua Menteri Melaka memberi impak dalam memenuhi sasaran berkenaan.

Rektor UiTM Melaka, Profesor Madya Sabariah Mahat memberi kata-kata semangat kepada kontinjen berkenaan di kampus terbabit di Lendu, Alor Gajah, kelmarin.

Kejohanan anjuran Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) UiTM dengan kerjasama UiTM Shah Alam turut mempertandingkan acara tenpin bowling, catur dan berbasikal.

Kejohanan ini turut medan persiapan UiTM Malaysia bertanding di Karnival Sukan Staf Antara Universiti (SUKUM) di Perak dan Karnival Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) di Melaka pada Julai dan Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 2:00 PM