Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Seramai 10 atlet Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengharumkan nama negara dan universiti itu di Sukan Sea Hanoi, Vietnam, bulan lalu diberikan wang tunai, pengecualian yuran pengajian serta kemudahan asrama secara percuma.

Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, 10 atlet UiTM itu menampilkan aksi terbaik dengan menyumbang empat perak dan lima gangsa kepada kontinjen negara.

Menurutnya, 10 penuntut UiTM itu menyumbang pingat dalam sukan sepak takraw, petanque, boling, berbasikal, catur dan angkat berat.

"Selain insentif, atlet terbabit diberikan yuran pengajian secara percuma dan penginapan di asrama kepada mereka.

"Ini sebagai menghargai jasa dan usaha mereka mengharumkan nama negara dan memberikan impak kepada UiTM sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang memberikan fokus kepada pembangunan sukan dalam negara.

"Pengecualian yuran dan kemudahan asrama ini sepanjang pengajian mereka. Kita berharap mereka akan terus bersemangat dan aktif dalam sukan sehingga tamat pengajian kerana selepas ini ada banyak kejohanan sukan lain dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Penyerahan Insentif Atlet UiTM di Sukan Sea Hanoi di Pusat Sukan UiTM Shah Alam, hari ini.

Mohd Sazili berkata, selain penuntut UiTM, dua kakitangan UiTM turut menyumbang pingat dalam sukan bina badan dan futsal, malah mereka menerima insentif daripada UiTM.

"Kami berterima kasih kepada semua atlet UiTM yang berjaya menghasilkan pingat dan semoga insentif diberikan ini terus membakar semangat mereka untuk kekal cemerlang mewakili negara dalam pelbagai kejohanan akan datang," katanya.

Ketika ucapan, beliau berkata, UiTM menawarkan Skim Hadiah Kecemerlangan Universiti sejak 2004 bagi menghargai jasa atlet UiTM sama ada penuntut atau kakitangan yang menyumbang keringat mewakili negara di pelbagai kejohanan sukan antarabangsa dan tempatan.

Menurutnya, dalam perancangan strategik UiTM tahun 2020-2025, agenda sukan diberi penekanan bagi mencapai matlamat universiti untuk menjadi Global Renowned University (GRU) pada 2025.

"Tahun ini, atlet UiTM dijangka akan terus beraksi di pentas dunia apabila beberapa atlet UiTM dipilih mewakili pasukan universiti Malaysia dalam kejohanan Sukan Universiti Asean di Thailand pada 26 Julai hingga 6 Ogos nanti.

"Kita turut mengharapkan beberapa atlet UiTM tersenarai dalam kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos depan," katanya.

Seramai 22 penuntut serta empat kakitangan UiTM bertanding di Sukan Sea Hanoi membabitkan acara petanque, kayak, menembak, catur, angkat berat, futsal, bola Sepak, sepak takraw, boling, memanah, berbasikal serta bina badan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 7:30 PM
MOHD Sazili (barisan belakang, tengah) bersama penerima insentif pada Majlis Penyerahan Insentif Atlet UiTM di Sukan Sea Hanoi 2021 di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
MOHD Sazili (barisan belakang, tengah) bersama penerima insentif pada Majlis Penyerahan Insentif Atlet UiTM di Sukan Sea Hanoi 2021 di Pusat Sukan UiTM, Shah Alam, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR