PENEMBAK negara, Alia Sazana Azahari memenangi pingat perak dalam acara sports pistol 25 meter wanita di Sukan Sea Hanoi, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PENEMBAK negara, Alia Sazana Azahari memenangi pingat perak dalam acara sports pistol 25 meter wanita di Sukan Sea Hanoi, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Impian Alia Sazana Azahari untuk melakar hatrik emas dalam acara sports pistol 25 meter (m) wanita di Sukan Sea Vietnam tidak kesampaian apabila dia sekadar berpuas hati dengan pingat perak pada final di Pusat Latihan Sukan Nasional Hanoi, hari ini.

Alia tunduk kepada lawan yang dikalahkannya dua kali berturut-turut di Sukan Sea Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017) iaitu Teh Xiu Hong dari Singapura dalam aksi penentuan emas dan perak yang berlangsung sengit.

Satu mata hanya membezakan antara mereka berdua apabila Xiu Hong meraih 34 mata, manakala Alia 33 mata dan gangsa milik Tanyaporn Prucksakorn (28 mata).

Menurut atlet kelahiran Terengganu itu, dia mengakui sangat geram dengan aksi final kerana hanya satu mata menghalangnya untuk melakar hatrik dan menghadiahkan emas buat kontinjen negara.

"Sudah tentu saya sangat geram dan saya tahu ia disebabkan kesilapan sendiri. Saya dapat rasakan perkara itu. Lagi pun ada dua aksi shoot off sebelum itu menyebabkan masa saingan bertambah panjang.

"Saya sudah cuba sehabis baik dan akhirnya itu sahaja keputusan yang mampu diraih.

"Apapun saya gembira dengan keputusan ini selepas berdepan saat sukar ketika pandemik sebelum ini dan ini adalah kejohanan antarabangsa kedua saya (ketika pandemik Covid-19)," kata atlet berusia 30 tahun itu.

Setakat ini, skuad menembak negara sudah meraih dua perak dengan yang pertama melalui Hafiz Adha dalam acara rapid fire pistol 25m.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 3:24 PM