NURUL  Syasya mengibar  Jalur Gemilang selepas meraih emas  acara  10m Air Pistol. FOTO Hairul Anuar Rahim
NURUL Syasya mengibar Jalur Gemilang selepas meraih emas acara 10m Air Pistol. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Penembak negara, Nurul Syasya Nadiah Moohd Arifin meraih kemenangan dalam acara 10 meter air pistol individu wanita dalam temasya Sukan Sea Vietnam, hari ini.

Dia meraih kemenangan luar jangka dalam penampilan sulungnya di Sukan Sea selepas mencatat 239.3 mata dalam format penyingkiran akhir di Pusat Latihan Nasional Hanoi.

Atlet Thailand, Tanyaporn Prucksakorn memperoleh perak dengan 238.7 mata manakala Trinh Thu Vinh dari Vietnam melengkapkan podium dengan 214.1 mata.

Kejayaan Syasya meraih emas menjadikan kontinjen Malaysia hanya selangkah lagi untuk mencapai sasaran 36 pingat emas di Sukan Sea Hanoi.

Atlet berusia 19 tahun itu menitiskan air mata sebaik dinobatkan sebagai pemenang dan mendedikasikan emas itu kepada jurulatihnya, Firdaus Abd Rahim.

"Saya amat bersyukur kerana dapat memenangi emas untuk Malaysia pada penampilan pertama di Sukan Sea. Saya bermula perlahan semasa pusingan kelayakan dan saya mengambil masa mengutip mata, tetapi saya berjaya bangkit.

"Terima kasih kepada jurulatih saya yang membantu dari awal. Saya mendedikasikan kemenangan ini kepadanya. Dengan bantuannya saya boleh mara ke final dan kini berdiri di sini dengan pingat di tangan saya," kata Syasya.

Syasya sebelum ini mengesahkan tempat ke final selepas membuat catatan 569 mata untuk menduduki tempat ketiga daripada 21 penembak semasa kelayakan.

Bibiana Ng dengan 560 mata dan Mumtazah Syahiidah Shamsuri 556 mata tidak berjaya mara ke peringkat akhir acara itu.

Sementara itu, hasrat Alia Husna Budruddin untuk memenangi pingat dalam acara 50m rifel tiga posisi wanita tidak kesampaian apabila menduduki tempat keempat dengan 425.8 mata dalam final format penyingkiran, manakala penembak berpengalaman, Nur Suryani Taibi sekadar tempat kelima dengan 414.7 mata.

Peserta Vietnam, Phi Thanh Tao menang emas dengan 451.1 mata, atlet Thailand, Ratchadporn Plengsaengthong (444.0) meraih perak, manakala gangsa milik penembak Singapura, Martina Lindsay P Veloso (435.0).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 5:30 PM