ALCARAZ melambai ke arah penonton selepas memenangi perlawanan pusingan pertama Terbuka Perancis. FOTO AFP
ALCARAZ melambai ke arah penonton selepas memenangi perlawanan pusingan pertama Terbuka Perancis. FOTO AFP
Reuters

Paris: Pemain tenis nombor satu dunia, Carlos Alcaraz memberi amaran awal kepada pesaingnya ketika memulakan cabaran untuk merebut gelaran Grand Slam keduanya.

Pemain Sepanyol itu menundukkan pemain Itali dari pusingan kelayakan, Flavio Cobolli, 6-0, 6-2, 7-5, di pusingan pertama Terbuka Perancis, hari ini.

Pemain berusia 20 tahun itu mengesahkan statusnya sebagai pencabar utama di pentas terbesar dan antara pemain pilihan untuk menggantikan rakan senegaranya yang juga juara 14 kali Roland Garros, Rafa Nadal, yang tidak bersaing tahun ini kerana kecederaan pinggul.

"Saya merasakan sokongan daripada orang ramai. Saya tidak tahu sama ada mereka peminat Nadal atau tidak, tetapi saya dapat merasakan kekuatan daripada mereka. Saya dapat rasakan cinta itu dan perasaan itu memang hebat," kata Alcaraz.

Alcaraz yang terlepas Terbuka Australia pada Januari lalu akibat kecederaan kaki menunjukkan aksi mengagumkan dalam perlawanan Grand Slam pertamanya sejak menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun lalu dan menunjukkan keazaman yang tinggi pada set pertama perlawanan itu.

Alcaraz yang memenangi gelaran di gelanggang tanah liat di Barcelona dan Madrid mudah mengatasi Cobolli yang akhirnya membuat penampilan sulung pada undian utama di kejohanan besar.

Lawan seterusnya menanti Alcaraz adalah Taro Daniel dari Jepun, yang mengalahkan Christopher O'Connell dari Australia, 6-0, 6-2, 6-4.

Alcaraz mengakui Taro mempamerkan prestasi cemerlang pada tahun ini, termasuk mengalahkan naib juara Roland Garros tahun lalu, Casper Ruud di suku akhir di Mexico, awal musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 10:41 AM