MIKE yang akan membuat penampilan kali pertama di Sukan Sea. -FOTO Aizuddin Saad
MIKE yang akan membuat penampilan kali pertama di Sukan Sea. -FOTO Aizuddin Saad
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Juara dunia bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah mengakui begitu teruja untuk memburu pingat emas apabila beraksi pada Sukan Sea Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 13 Mei ini.

Apa tidaknya, selepas hampir 10 tahun acara bina badan tidak dipertandingkan pada temasya dwi tahunan itu sejak kali terakhir pada 2013 di Myanmar, ia kini akan dipertandingkan semula di Hanoi.

Bagi Mohd Syarul atau lebih mesra disapa Mike yang akan membuat penampilan kali pertama di Sukan Sea, dia sudah bersedia untuk menghadapi cabaran getir itu selepas menjadi sandaran utama untuk meraih emas.

Namun misi juara dunia kategori Athletics Physique empat kali berturut-turut sejak 2016 itu bukan mudah kerana bakal berdepan cabaran daripada wakil tuan rumah serta Thailand.

"Pada saya cabaran memang dari Thailand dan Vietnam. Thailand ada juara dunia 2019 kategori lain dan ketika saya menang juara dunia 2019, naib juara ketika itu adalah dari Vietnam. Jadi cabarannya boleh dikatakan agak sukar, tetapi saya akan beri yang terbaik dan cuba dapatkan emas untuk negara.

"Dalam kategori terbuka saya perlu nampak lagi 'tebal' di atas pentas, saya tak boleh nampak kecil sebab saya tahu lawan saya lagi tebal dan berat.

"Saya dah biasa naik ke pentas dengan berat badan 69 kilogram (kg), tetapi kali ini saya sasar berat antara 72-73 kg dan ia bukan benda yang senang," katanya.

Pada temasya di Hanoi, Mike akan bertanding dalam acara Athletics Physique dan Mixed Pair dengan skuad bina badan negara menyasarkan membawa pulang satu emas, dua perak dan tiga gangsa.

Ketika kali terakhir bina badan dipertandingkan di Sukan Sea dekat Myanmar, Malaysia meraih masing-masing satu emas, perak dan gangsa tetapi Mike tidak turut serta kerana kategorinya tidak disenaraikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 12:32 PM