SYARUL Azman. -FOTO Arkib NSTP
SYARUL Azman. -FOTO Arkib NSTP
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Jaguh bina badan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah ternyata bersyukur dan membara untuk menghadiahkan emas buat kontinjen Malaysia di Sukan Sea Vietnam 2021 selepas diberikan lampu hijau untuk bertanding esok.

Sebelum ini Syarul atau lebih terkenal dengan panggilan 'Mike' dikesan positif Covi-19 namun semalam Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) mengesahkan Mr Asia lima kali itu bebas daripada sebarang jangkitan dan seterusnya dibenarkan beraksi dalam acara Athletics Physique lelaki.

"Alhamdulillah, saya rasa gembira dibenarkan untuk bertanding. Saya pun pelik sebab datang ke sini dengan keadaan sihat, tak tahu hendak cakap macam mana (mengenai jangkitan berkenaan).

"Apa pun saya berterima kasih dengan bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) dan pegawai perubatan kerana akhirnya keputusan saya negatif," kata Syarul.

Semalam PBBM memberitahu mereka sedikit cemas dengan keadaan dihadapi Syarul namun mereka sentiasa memantau rapi dan selepas lima kali ujian ujian pantas antigen (RTK-Ag), atlet harapan mereka itu akan tampil di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi esok.

"Akhirnya saya boleh bertanding selepas dua hari perkara ini mengganggu fikiran saya, tapi kali ini saya kembali bersemangat. Saya mahu mendapatkan pingat emas untuk negara," katanya.

Semalam skuad bina badan negara, berjaya meraih perak melalui Azri Asmat Safri dalam kategori 55 kilogram (kg) lelaki pada penampilan sulungnya di Sukan Sea.

Sementara itu, dalam acara 65kg lelaki, Malvern Abdullah berpuashati untuk meraih gangsa dengan lawannya dari Thailand dan Vietnam lebih menyerlah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 1:33 PM