MIKE (tengah) komited meneruskan diet pemakanan bagi mengharungi kejohanan dunia. FOTO Ihsan Syarul Azman Mike Mahen
MIKE (tengah) komited meneruskan diet pemakanan bagi mengharungi kejohanan dunia. FOTO Ihsan Syarul Azman Mike Mahen
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengorbanan tidak 'sentuh' gula sejak Februari lalu ternyata berbaloi buat jaguh bina badan negara, Syarul Azman Mike Mahen membuktikan dia berada di kelas tersendiri apabila merangkul gelaran juara buat kali kelima pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia yang berlangsung di Phuket, Thailand, semalam.

Kejuaraan itu cukup bermakna buat atlet berusia 49 tahun apabila segala penat lelah terutamanya terpaksa melupakan makanan kegemaran dibalas menerusi kejayaan mengungguli saingan dalam kategori athletic physique atas 167cm.

Syarul atau lebih mesra dengan panggilan Mike berkata, walaupun gagal pada mempertahankan kejuaraan dunia dan Asia sebelum ini namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus komited meneruskan diet pemakanan bagi mengharungi saingan di pentas kejohanan dunia itu.

"Kejayaan ini cukup bermakna kerana ia 'membayar' segala penat lelah termasuklah gagal mempertahankan kejuaraan tahun lalu selain turut hanya memperoleh tempat ketiga pada penyertaan di Kejohanan Asia di Maldivies lima bulan lalu.

"Walaupun ketika itu gagal bergelar juara namun saya tekad untuk meneruskan diet dengan tidak menyentuh gula sejak Februari lalu. Ini bermakna makanan seperti nasi lemak atau roti canai terpaksa dilupakan sehingga selesai menyertai kejohanan dunia.

"Kejayaan yang dikecapi ini adalah untuk Malaysia dan peminat sukan tanah air yang sentiasa memberi sokongan padu sehingga saya berjaya merampas kembali gelaran juara dunia," katanya.

Mengikut rekod, Mike mula meraih gelaran dunia pada tahun 2016 dan mempertahankannya pada 2017, 2018 dan 2019.

Pada tahun 2020, kejohanan terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19 tetapi Mike terlepas gelaran juara pada edisi 2021.

Dia yang memenangi pingat emas Sukan Sea Hanoi, Mei lalu bagaimanapun mengalami satu lagi kekecewaan apabila gagal mempertahankan kejuaraan dan memenangi gelaran keenam pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia di Maldives, Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 4:13 PM