AFP

Augusta, AS: Kali terakhir Tiger Woods memenangi kejohanan utama ialah pada 2008 selain kemarau gelaran Masters AS sejak sedekad lalu tetapi kelibatnya tetap diperhatikan pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy yang menganggap kehebatan bintang itu tidak pernah berkurangan.

Kejohanan Masters AS edisi ke-79 disingkap dengan rasminya hari ini di lapangan Augusta National ketika McIlroy memburu Jaket Hijau sulungnya dan kejohanan utama ketiga berturut-turut untuk melengkapkan Grand Slam karier manakala Woods yang kini menduduki tangga ke-111 dunia, memburu gelaran utama ke-15 selepas dibelenggu kecederaan selain prestasi tidak menentu.

“Saya fikir semua orang mahu melihat bagaimana aksinya ketika ini,” kata McIlroy mengenai Woods. “Saya tidak fikir cabarannya boleh dipandang mudah. Dia pernah beberapa kali melakukan sesuatu yang istimewa di padang golf.

“Saya sempat berbual dengannya ketika kami menjalani latihan putt di green. Dia sihat dan berusaha keras mengembalikan pukulan hebatnya.

“Dia mempunyai dorongan baik untuk melakukannya dan sama seperti pemain lain, saya pasti akan memantau kad markahnya untuk melihat apakah catatannya.”

Juara bertahan Bubba Watson mampu mengikut jejak Woods, Jack Nicklaus serta Nick Faldo sebagai antara pemain yang memenangi gelaran Masters AS dua kali berturut-turut selain menyamai pencapaian Nicklaus sebagai pemain yang memenangi tiga Jaket Hijau dalam tempoh empat tahun.

Begitupun, ada beberapa pemain muda mahu memburu kemenangan utama pertama seperti Jordan Spieth dan Jason Day selain bekas juara, Adam Scott serta Phil Mickelson yang mahu kembali menggegar di Augusta National.

“Banyak yang menaikkan semangat kami di sini. Suasana, lapangan sukar serta halangan yang getir membuatkan kami seronok untuk berada di sini,” kata McIlroy. “Augusta biasanya menghidangkan minggu yang hebat.”

Woods tidak beraksi lebih dua bulan sejak menarik diri di Torrey Pines, Februari lalu. Catatan itu yang terburuk buat Woods selain pernah mencatat 82 pukulan pada pusingan kedua Terbuka Phoenix.

“Banyak cerita menarik di sini. Tiger kembali beraksi pada Masters AS selepas berehat panjang,” kata McIlroy. “Begitupun, saya tetap di sini untuk bermain golf dan anda semua boleh tulis apa saja mengenai kejohanan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 7:44 AM