PELUMBA TSG ketika berlatih di Turki. FOTO Ihsan Facebook Terengganu Polygon Cycling Team
PELUMBA TSG ketika berlatih di Turki. FOTO Ihsan Facebook Terengganu Polygon Cycling Team
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Sekalipun hadir tanpa juara bertahan jersi kuning, Jambaljamst Sainbayar, pasukan berbasikal bertaraf benua Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) tampil pada Tour of Thailand bermula esok dengan semangat sama untuk mengungguli perlumbaan kategori 2.1 itu.

Tanpa kelibat Sainbayar, yang meraih pingat gangsa ketika mewakili negaranya Mongolia pada Kejohanan Lebuh Raya Asia di Dushanbe, Tajikistan beberapa hari lalu, TSG diketuai pelumba berpengalaman Mohd Harrif Saleh yang terlepas saingan Disember lalu kerana positif Covid-19.

Selain itu, TSG yang masih menghuni tangga pertama dalam ranking pasukan terbaik Jelajah Asia, turut diwakili Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff, Irwandie Lakasek, Mohd Shahrul Mat Amin, pemenang jersi kuning Tour Gateh d'Tranung baru-baru ini Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan seorang pelumba import, Metkel Eyob dari Eritrea.

Harrif berkata, pasukan profesional itu sudah bersedia dari segi mental dan fizikal selepas mengharungi latihan intensif serta perlumbaan selama hampir dua bulan di Asia Barat, Afrika dan Turki baru-baru ini serta Tour Gateh d'Tranung minggu lalu.

"Secara amnya, kami sudah bersedia untuk memberikan cabaran terbaik selepas mengharungi banyak perlumbaan dan latihan di Turki, Arab Saudi, UAE dan Rwanda sejak awal Januari lalu.

"Bagi saya secara peribadi, saya menjanjikan persembahan terbaik dan akan cuba untuk menjejak podium pada perlumbaan kali ini walaupun hakikatnya banyak juga pasukan termasuk dari Jepun dan Team Sapura Cycling (TSC) yang pasti memberikan cabaran sengit," katanya ketika dihubungi.

Pada Disember lalu, Sainbayar menyambar jersi kuning Tour of Thailand pada hari terakhir apabila mempamerkan kayuhan konsisten dengan meraih podium pada peringkat ketiga, keempat dan terakhir.

TSG juga bertanding tanpa bintang utama mereka ketika ini dari Ukraine, Anatolii Budiak yang mempamer kayuhan memukau apabila menjuarai dua perlumbaan sehari Grand Prix Mediterranean (6 Mac) dan Grand Prix Gundogmus (20 Mac) serta naib juara keseluruhan Tour du Rwanda (20-27 Februari).

Empat lagi pelumba import turut direhatkan Youcef Reguigui dari Algeria, Jeroen Meijers (Belanda), Jamal Hibatullah (Indonesia) dan Goh Choon Huat (Singapura).

Selain TSG dan TSC, Malaysia turut diwakili pasukan kebangsaan dan Sweet Nice Continental (SNC) pada perlumbaan enam peringkat dalam Jelajah Asia itu yang bermula dan berakhir di wilayah Mukdahan dan menampilkan kira-kira 120 pelumba daripada 20 pasukan.

Peringkat pertama esok berlangsung di sekitar wilayah Mukdahan dengan jarak 157.3 kilometer diikuti peringkat kedua Mukdahan-Sakhon Nakhon (183.5km), ketiga di Sakhon Nakhon (117km), keempat Sakhon Nakhon-Nakhon Phanom (176km), kelima di Nakhon Phanom (163km) dan peringkat keenam Nakhon Phanom-Mukdahan (165.3km).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 8:26 PM