WAI Ching (tiga dari kiri) meraikan hari ketujuh Tahun Baharu Cina di Dubai bersama rakan. Foto Instagram mastowerrunner
WAI Ching (tiga dari kiri) meraikan hari ketujuh Tahun Baharu Cina di Dubai bersama rakan. Foto Instagram mastowerrunner
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Sambutan hari ketujuh Tahun Baharu Cina mempertemukan pelari menara negara Soh Wai Ching dengan dua pemain badminton profesional Cheam June Wei dan Loh Kean Yew yang menjadikan Emiriah Arab Bersatu sebagai pangkalan latihan mereka.

Wai Ching, yang baru saja menjuarai Larian M1 (Hotel Media One) di Dubai Sabtu lalu, menerima jemputan daripada sepasang suami isteri warganegara Malaysia, Kelly Wong dan Nick Lim untuk makan malam di Restoran Nine Squares cawangan Jumeirah.

Pasangan itu turut menjemput June Wei, bekas pemain kebangsaan dan Kean Yew, juara perseorangan lelaki dunia dari Singapura yang berasal dari Malaysia.

Kedua-dua pemain itu tidak sempat beraya dengan keluarga mereka di kampung kerana menjalani latihan intensif bersama juara Olimpik dari Denmark, Viktor Axelsen di Kompleks Sukan Nad Al-Sheba.

"Terima kasih @wongkaili dan Nick Lim kerana menjemput saya untuk menyertai makan malam hotpot malam tadi. Bersama saya, dua pemain badminton @cheamjunewei (juara Olimpik Belia) dan @lohkeanyew (juara dunia) turut menyertai majlis makan malam itu.

"Saya bertemu dengan June Wei lama dulu semasa dia bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan mereka datang ke Arena UM untuk sesi latihan kecergasan setiap pagi Khamis. Mengingati saat itu, saya mengemudi larian mereka di trek, sungguh menyeronokkan kerana dapat berlari dengan ramai atlet," tulisnya dalam perkongsian di laman Instagram.

"Kini dia menjadi pemain profesional dan menyertai latihan di sini bersama @viktoraxelsen dan @lohkeanyew di @nas_sc di Dubai. Saya percaya dia akan meraih lebih banyak kejayaan susulan kerja keras dilakukannya.

"Gembira juga dapat bertemu Kean Yew di sini dan dia seorang lelaki peramah serta lucu. Kami memintanya bercerita mengenai kejayaannya muncul juara dunia. Suka mendengar atlet berkongsi pengalaman, perjalanan serta kepayahan yang dilalui mereka," katanya.

Wai Ching, pelari menara nombor satu Asia dan ranking kedua dunia, turut berterima kasih kepada Nick kerana berkongsi idea bagaimana untuk mencari penaja di Dubai.

"Nick, suami Kelly berkongsi perjalanannya menjadi seorang ahli perniagaan berjaya di Dubai. Kedua-duanya datang ke Dubai 14 tahun lalu dan membina karier mereka di sini. Bagaimana mereka datang ke Dubai dengan tanpa apa-apa dan kini mereka berjaya dan saya percaya akan lebih berjaya."

Wai Ching, 27, kini meneruskan latihan di Dubai sebelum cuba mengungguli perlumbaan Scale the Strat di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 27 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 11:01 PM