LATIF hadiah emas ketiga negara. -FOTO Ihsan Facebook Istana Negara
LATIF hadiah emas ketiga negara. -FOTO Ihsan Facebook Istana Negara
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada perseorangan lelaki kategori SU5 Badminton, Cheah Liek Hou dan atlet lompat jauh, Abdul Latif Romly, yang menghadiahkan pingat emas buat negara di Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun semalam.

Seri Paduka Baginda berdua, pada masa yang sama, menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan kedua-dua atlet paralimpik negara sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Liek Hou melakar sejarah sebagai pemenang emas sulung negara dalam acara badminton di Sukan Paralimpik dan ia adalah kali pertama badminton dipertandingkan di Sukan Paralimpik.

Abdul Latif, 24, berjaya mengekalkan emas yang dimenanginya lima tahun lalu di Paralimpik Rio 2016 apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.

"Pencapaian cemerlang Liek Hou dan Abdul Latif membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa. Ianya juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia," demikian menurut catatan Seri Paduka berdua di laman Facebook rasmi Istana Negara.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Liek Hou dan Abdul Latif Romly turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di Malaysia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.

LIEK Hou turut cemerlang menghadiahkan emas kedua. -FOTO Ihsan Facebook Istana Negara
LIEK Hou turut cemerlang menghadiahkan emas kedua. -FOTO Ihsan Facebook Istana Negara

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Liek Hou dan Abdul Latif dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan memahat sejarah serta mengharumkan nama di kejohanan-kejohanan mendatang.

Turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua atlet berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengakui bahawa Abdul Latif dan Liek Hou mempamerkan semangat dan memberikan sumber inspirasi kepada Keluarga Malaysia.

"Syabas Cheah Liek Hou atas prestasi yang sungguh menakjubkan. Pingat emas buat Malaysia!. Atlet paralimpik terus menyumbangkan pingat kepada negara. Semangat dan kecekalan seperti inilah yang menjadi sumber inspirasi seluruh warga Keluarga Malaysia!.

"Latif terbang tinggi! Tahniah Abdul Latif Romly atas kemenangan pingat EMAS KETIGA Malaysia di Paralimpik Tokyo!

Saya sangat berbangga dengan kejayaan para atlet Paralimpik yang beraksi cemerlang pada kejohanan kali ini.

Inilah semangat kita, Keluarga Malaysia!," kata Ismail Sabri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 1:53 PM