AKSI  Suresh ketika menentang Tsydendprzhiev. FOTO Bernama
AKSI Suresh ketika menentang Tsydendprzhiev. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kontinjen paralimpik negara masih berpeluang meraih tiga pingat emas biarpun tewasnya juara dunia dalam acara memanah recurve, S Suresh pada aksi penyingkiran 16 terbaik, hari ini.

Perjalanan Sureh terhenti selepas tewas kepada lawan dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia (RPC), Bato Tsydendorzhiev 2-4.

Atlet kelahiran Kedah itu bermula dengan baik apabila berjaya bangkit dari ketinggalan untuk menyamakan kedudukan 2-2 di set kedua sebelum tewas kepada lawan dengan keputusan 2-6.

Nyata keadaan angin yang tidak menentu di venue pertandingan Yumenoshima Park menjadi punca kekalahan atlet negara itu pada penampilan pertamanya di pentas Paralimpik.

Bagi jurulatih negara, Marzuki Zakaria atletnya sudah melakukan yang terbaik cuma rezeki tidak memihak kepada Suresh.

"Angin di sini sukar untuk dijangka. Pada set ketiga itu angin bertiup kuat. Kedudukan badan Suresh sudah tidak stabil di sebabkan tiupan angin itu dan itu menyebabkan anak panahnya tersasar.

"Tapi saya berpuas hati dengan prestasinya kerana dia sudah melakukan yang terbaik dan saya pasti dia akan perbaiki kelemahan ini pada kejohanan akan datang," katanya.

Pada aksi empat set itu Suresh, 28, meraih 23 mata di set pertama disusuli 28, 23 dan 23 mata manakala lawan mengumpul 25, 24, 25 dan 28 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 10:36 AM