AKSI Suresh hari ini. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
AKSI Suresh hari ini. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bagi sukan memanah apa saja kemungkinan boleh berlaku dan dengan satu anak panah juga seorang atlet itu boleh dinobatkan sebagai pemenang dan begitu juga sebaliknya.

Keputusan dalam aksi penentuan ranking hari ini membabitkan dua atlet negara iaitu Wiro Julin untuk acara compound dan S Suresh (recurve) di temasya Paralimpik Tokyo tidak boleh dijadikan kayu pengukur akan kemampuan mereka menghadiahkan pingat buat negara.

Tegas jurulatih kebangsaan Marzuki Zakaria, apa yang penting adalah pada hari pertandingan iaitu ketika pusingan Olimpik berlangsung.

"Keadaan cuaca di sini (Tokyo) sangat panas dan berangin jadi memang sukar untuk atlet kita mengawal keadaan. Keputusan hari ini bukanlah penentu segalanya.

"Ada kalanya mereka yang menduduki ranking nombor satu pun boleh kalah awal.

"Jadi yang penting bagi saya adalah pada hari pertandingan nanti, mereka buat yang terbaik. Siapa yang dapat kawal diri dia yang akan menang," katanya.

Pada aksi penentuan ranking, Wiro berjaya merekodkan catatan terbaik peribadi iaitu 673 mata untuk berkedudukan tempat ke-26 dan akan berdepan Bair Shigaev dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia (RPC), esok.

Manakala Sureh yang juga pemanah harapan negara menamatkan aksi di kedudukan ke-28 dari 31 peserta yang mana dia turut merekodkan catatan terbaik peribadi iaitu 579 mata.

Suresh akan turun berdepan juga lawan dari RPC, Bato Tsydendorzhiev pada 3 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 6:17 PM