Aksi pemanah negara, S Suresh pada saingan penentuan ranking di Tokyo pada 27 Ogos lalu. FOTO Bernama
Aksi pemanah negara, S Suresh pada saingan penentuan ranking di Tokyo pada 27 Ogos lalu. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Atlet memanah para negara, S Suresh berada pada tahap terbaik menjelang aksi recurve individu terbuka lelaki esok.

Jurulatihnya, Marzuki Zakaria berkata, Suresh dapat menjalani latihan dengan baik sejak tiba di Tokyo dan sudah bersedia untuk turun pada aksi pertama bertemu wakil Jawankuasa Paralimpik Rusia (RPC), Bato Tsydendorzhiev di pusingan 16 terbaik.

"Dalam acara memanah sesiapa saja boleh menang dan cuaca di sini juga tidak menentu.

"Untuk latihan hari ini cuaca hujan dan agak sejuk, tidak seperti situasi latihan semasa awal kami di sini yang agak panas. Kami sentiasa bersedia dan fokus dalam setiap latihan.

"Saya harap atlet saya juga dapat kekal fokus dalam pertandingan esok. Apa yang berlaku di sini sedikit pun tidak memberi kesan pada atlet saya, malah mereka lebih bersemangat dan tidak sabar untuk melakukan yang terbaik dalam acara esok.

"Saya harap kita sama-sama berdoa agar pasukan memanah dipermudahkan segala urusan dan diberikan kejayaan dalam di Paralimpik Tokyo ini," katanya ketika dihubungi.

Suresh menempah slot ke Tokyo dua tahun lalu selepas menjuarai acara recurve lelaki terbuka pada Kejohanan Para Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda.

Dia antara sandaran kontinjen negara untuk meraih pingat emas pada temasya kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 10:53 PM