Pemerhati sukan, Dr Pekan Ramli.
Pemerhati sukan, Dr Pekan Ramli.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pegawai yang mengiringi atlet Paralimpik Tokyo termasuk Muhammad Ziyad Zolkefli sepatutnya mempunyai kesedaran lebih besar dalam mengendalikan atlet Orang Kelainan Upaya (OKU).

Pemerhati sukan, Dr Pekan Ramli berkata, ia bagi mengelak tragedi yang menimpa atlet para lontar peluru negara itu berulang lagi kepada atlet lain pada masa akan datang.

"Dalam konteks atlet para, bagi saya seorang pegawai yang menguruskan atlet berkenaan sebenarnya perlu meletakkan diri mereka seolah-olah sama bertanding dengan atlet di bawah pengawasannya.

"Ini adalah disiplin paling utama yang perlu ada pada seorang pegawai yang diberikan tanggungjawab kepada mana-mana atlet OKU. Peraturan dan disiplin adalah dua perkara utama penting dalam sukan yang menjadi kunci kejayaan.

"Kalau gagal mengikut peraturan, maka kita akan disingkirkan. Bagi saya pengurusan masa sangat penting. Kita jangan ambil mudah lewat sedikit satu dua minit tetapi ia memberi impak yang sangat besar," katanya.

Ziyad memecahkan rekod dunia miliknya sendiri sebanyak tiga kali dalam usaha memenangi emas, Selasa lalu sebelum penyertaannya dibatalkan dan rayuannya ditolak panel juri Sukan Paralimpik Tokyo berikutan kelewatan memasuki call room.

Sementara itu, Pekan mengakui sangat terkejut kerana dalam kejohanan besar seperti Paralimpik Tokyo, kecuaian itu boleh berlaku kepada atlet negara.

"Saya kasihan kerana ia berlaku kepada atlet para yang sangat memerlukan untuk diuruskan dan dibantu. Jadi bila berlaku situasi kegagalan sampai tepat masanya ke call room, saya berasa sangat sedih.

"Ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan kita tidak harus menyalahkan mana-mana pihak termasuklah Ukraine kerana ia adalah kesalahan di pihak kita sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 5:09 PM