Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO File NSTP
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Chef De Mission (CDM) negara ke Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berharap kerajaan dapat memberikan ganjaran sewajarnya untuk atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli selepas pingat emas dimenanginya pada final acara F20 semalam ditarik semula.

Ia bagi menghargai pencapaian luar biasa Ziyad di Paralimpik Tokyo yang memecahkan rekod dunia miliknya sendiri sebanyak tiga kali semalam dalam usaha memenangi emas sebelum penyertaannya dibatalkan dan rayuannya ditolak panel juri Sukan Paralimpik Tokyo, hari ini.

"Bagi pihak kontinjen negara, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas isu yang terjadi.

"Saya juga sudah menemui Ziyad dan terlebih dulu memaklumkan hasil daripada mesyuarat CDM pagi tadi dan Alhamdulillah Ziyad dilihat berlapang dada dengan keputusan itu.

"Kepada atlet negara yang masih berjuang diharap meneruskan fokus kepada acara masing-masing. Misi kita di Tokyo belum selesai dan kami memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia," katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Megat yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkata, badan induk itu akan terus berusaha memperjuangkan isu berkenaan ke Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Olahraga Para Dunia sejurus berakhir temasya Paralimpik Tokyo.

Megat berkata, tindakan itu hanya boleh dilakukan selepas berakhirnya temasya Paralimpik Tokyo.

"Di samping itu, saya juga sedang berusaha untuk mendapatkan rakaman CCTV di Bilik Panggilan (Call Room) dan kawasan menunggu Stadium Olimpik Tokyo untuk mendapatkan gambaran dan masa sebenar insiden bagi tujuan bahan bukti untuk meneruskan tindakan selanjutnya.

"Pada Mesyuarat CDM pagi tadi sebagai usaha tambahan, saya sudah menerangkan situasi yang berlaku kepada Ziyad di hadapan Jawatankuasa Penganjur dan ketua kontinjen negara yang bertanding sebagai mempertahankan kemenangan itu.

"Namun, pihak Jawatankuasa Penganjur memaklumkan segala protes dan rayuan boleh dibuat secara bertulis kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Olahraga Para Dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:26 PM