AZIZUL menerima watikah sebagai Karyawan Tamu Utama Universiti Malaysia Terengganu (UMT). FOTO Malik Muhamad
AZIZUL menerima watikah sebagai Karyawan Tamu Utama Universiti Malaysia Terengganu (UMT). FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengharapkan atlet berbasikal Paralimpik negara yang kini sedang berjuang di Tokyo agar tidak berputus asa dalam misi memburu pingat buat negara.

Malah pelumba yang digelar 'The Pocket Rocketman' berusia 33 tahun itu mahukan semua atlet berbasikal negara dapat mengambil auranya yang berjaya menghadiahkan pingat perak dalam acara keirin pada 8 Ogos lalu.

"Buat semua rakan seperjuangan saya dalam sukan berbasikal, saya ucapkan tahniah atas usaha anda, jangan sedih dan jangan putus asa sebaliknya perlu mempunyai keazaman yang tinggi untuk bangkit serta kekal fokus dalam perlumbaan seterusnya.

"Seperti saya, ketika acara pecut saya tidak dapat melangkah ke final juga, tapi saya kekal fokus dan terus fikir untuk melangkah ke depan dalam acara keirin, Alhamdulillah saya berjaya.

"Saya percaya Zuhairie dan rakan-rakannya termasuk pelumba wanita boleh berjaya tapi perlu meningkatkan lagi kayuhan selain banyakkan doa.

"Saya ucapkan selamat berjaya buat mereka yang kini berjuang untuk mengharumkan nama negara walaupun saya sedar cabaran tetap sukar dalam dan luar gelanggang termasuk perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.

"Tapi usah jadikan cabaran itu sebagai halangan, sebaliknya jadikan sebagai satu motivasi untuk memburu pingat lebih-lebih lagi Olimpik adalah sukan terbesar dunia, ambil semangat pingat perak yang saya perolehi juga di Velodrom Izu.

"Lagipun saya lihat mereka begitu berbakat dan berpotensi untuk berjaya kerana kami berlatih sekali sebelum ini di Velodrom Nilai selain saya lihat ramai atlet berbasikal yang hebat, saya rasa sukan para ini mampu melangkah lebih jauh lagi," katanya.

Dia ditemui selepas majlis penyampaian watikah sebagai Karyawan Tamu Utama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 8:01 PM