AKSI Mayweather (kiri) ketika bertemu Paul. FOTO Agensi
AKSI Mayweather (kiri) ketika bertemu Paul. FOTO Agensi
Agensi

Los Angeles: Floyd Mayweather meraih lebih £1.6 juta (RM9.4 juta) untuk setiap tumbukannya ketika bertemu Logan Paul pada perlawanan pertunjukan sebelum ini yang menyaksikannya melakukan 43 tumbukan.

Mayweather menerima £72 juta (RM423 juta) bayaran per tontonan ketika bertemu Paul yang juga sensasi YouTube.

Bagaimanapun dia gagal untuk melakukan knockout ke atas lawannya itu sekali gus tiada pemenang pada pertarungan selama lapan pusingan itu.

Dengan 43 tumbukan yang mengenai lawannya, bermakna Mayweather meraih £1.6 juta untuk setiap tumbukan, menurut laman web Bonusfinder.

Petinju legenda Amerika Syarikat (AS) itu meraih lebih banyak keuntungan ketika bertemu Paul, 26, berbanding bertemu Manny Pacquiao, 42, dan Conor McGregor, 33.

Mayweather, 44, menewaskan Pacquiao menerusi kiraan mata pada 2015 dan dilaporkan menerima £1.3 juta (RM7.6 juta) untuk setiap tumbukan yang mengenai lawannya itu.

Dia berjaya melakukan 148 tumbukan ke atas sensasi Filipina itu dan membawa pulang wang sebanyak £192.5 juta (RM1.13 bilion).

Ketika bertemu bekas juara UFC, McGregor pula, yang juga perlawanan terakhirnya selaku petinju profesional, dia berjaya melakukan 170 tumbukan.

Ia menyaksikan Mayweather meraih £1.2 juta (RM7 juta) untuk setiap tumbukan dan membawa pulang ganjaran sebanyak £211 juta (RM1.24 bilion).

Paul pula hanya melakukan 28 tumbukan ke arah Mayweather pada perlawanan yang dia dikatakan hanya dibayar £10 juta (RM58.7 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 11:10 AM