JUPHA perlu bukti kemampuan di ACC.
JUPHA perlu bukti kemampuan di ACC.
Azlan Muhammad Zain


KEJOHANAN Lumba Basikal Asia (ACC) 2018 di Velodrom Nasional, Nilai menjadi medan terakhir buat pelumba trek negara, Jupha Somnet meraih tiket beraksi di Sukan Komanwel Gold Coast, April tahun depan.

Pengurus skuad berbasikal negara, Ramlay Ibrahim berkata, pelumba kelahiran Perlis itu tiada pilihan selain perlu membuktikan kemampuan sebenarnya sekiranya mahu berada dalam senarai 13 pelumba yang akan menggalas cabaran negara di temasya kedua terbesar dunia itu.

Menurutnya, pihaknya sudah mengemukakan nama 15 pelumba kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), namun hanya 10 pelumba lelaki dan tiga pelumba wanita diberikan ‘lampu hijau’ iaitu Fatehah Mustapa, Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosdi.

“Jupha pula disenaraikan untuk acara scratch namun perlu membuktikan kemampuan di ACC selain hanya lima tempat diberikan untuk acara kejar-mengejar berpasukan lelaki berbanding enam yang dipohon,” katanya.

Bagaimanapun, kegagalan pelumba berusia 24 tahun itu meraih pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu menimbulkan masalah apabila sekadar meraih dua perak menerusi acara kriterium (lebuh raya) dan omnium (trek).

Jupha ketika ditemui semasa melawat Ekspo Negaraku di Dataran Merdeka, menaruh harapan mampu mempamerkan aksi cemerlang di ACC yang berlangsung di tanah air sendiri.

"Saya baru memulakan program dan berharap mampu mencapai kemuncak di ACC. Cabaran sememangnya kuat seperti Sukan Asia kerana kehadiran pencabar yang sama dari Jepun dan Korea Selatan.

"Saya harap mampu layak. Saya tidak mengetahuinya secara terperinci namun mungkin kedudukan podium sudah memadai," jelasnya yang pernah meraih perak (perlumbaan mata) dan gangsa (scratch) pada ACC 2015 di Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 8:17 PM