SHELLY Ann berada di landasan terbaik untuk meraih emas dalam acara 100m wanita. FOTO AFP
SHELLY Ann berada di landasan terbaik untuk meraih emas dalam acara 100m wanita. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Shelly Ann Fraser Pryce bermula dengan sempurna ketika dia dalam usaha untuk mencipta sejarah menjadi pemenang tertua pingat emas Olimpik dalam acara 100 meter (m) wanita.

Pelari berusia 34 tahun dari Jamaica itu memenangi perlumbaan saringan dengan mencatat masa 10.84 saat (s) di Stadium Olimpik tatkala dia mempamerkan larian bersahaja pada 20 meter terakhir.

Ia sudah cukup untuk membolehkan juara dunia itu mara ke pusingan seterusnya dengan mencatat masa ketiga terpantas di belakang pelari Ivory Coast, Marie Josee Ta Lou (10.78s) dan penyandang juara Olimpik dari Jamaica, Elaine Thompson-Herah (10.82s).

Shelly Ann adalah pelari terpantas dalam dunia tahun ini dalam acara 100m, selepas mencatat masa 10.63s di kejohanan di Kingston Jun lalu untuk menjadi pelari kedua terpantas wanita dalam sejarah.

Hanya juara Olimpik 1988 dan pemegang rekod dunia, Florence Griffith Johyner mencatat masa lebih pantas daripada itu.

Juara Olimpik 2008 dan 2012 itu percaya kebangkitannya tahun ini adalah disebabkan sudah lama berehat dan meninggalkan sukan berkenaan selepas melahirkan anak pada 2017.

"Selepas setahun melahirkan anak, saya dapat meningkatkan semula motivasi dan apa yang ingin saya capai dan 10.6s adalah salah satu halangan yang saya ingin lepasi.

"Saya rasa ada baiknya saya tidak memperolehnya lebih awal dalam karier saya kerana siapa tahu, jika saya mendapatnya lebih awal, saya mungkin tidak berada di sini," katanya.

Walaupun begitu, Shelly Ann mengakui bahawa dia tidak menyangka akan berlari dengan begitu pantas pada tahun 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 1:52 PM