PELARI Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce layak ke final 200m wanita dan memburu gelaran berganda selepas memenangi acara 100m, Ahad lalu. FOTO AFP
PELARI Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce layak ke final 200m wanita dan memburu gelaran berganda selepas memenangi acara 100m, Ahad lalu. FOTO AFP
AFP

Eugene: Shelly-Ann Fraser-Pryce meneruskan impian memenangi gelaran berganda acara pecut, apabila melangkah ke final 200 meter (m) wanita di Kejohanan Olahraga Dunia, hari ini.

Masih segar selepas mencipta rekod memenangi acara 100m dunia buat kali kelima, Ahad lalu, Shelly-Ann mencatatkan masa terbaik musim ini, 21.83 saat dalam perlumbaan separuh akhir ketiga dan mengatasi pelari Amerika Syarikat (AS), Abby Steiner.

Mengiringi pelari berusia 35 tahun itu yang juga juara dunia 200m pada 2013 di perlumbaan akhir, esok, adalah dua rakan senegaranya dari Jamaica yang menyapu bersih podium pada perlumbaan 100m, Ahad lalu.

Shericka Jackson yang mencatat masa terpantas musim ini, 21.55s dan juara pecut Olimpik sebanyak empat kali yang juga pemenang perak 200m dunia pada 2015, Elaine Thompson-Herah, masih memburu gelaran individu sulung di kejohanan dunia.

Shericka memenangi separuh akhir dengan masa 21.67s, manakala Elaine layak sebagai seorang daripada dua pelari terpantas yang bukan dalam kalangan dua pelari layak automatik dalam tiga perlumbaan separuh akhir itu.

Selain tiga trio Jamaica itu dan Abby, pelari lain yang layak ke final adalah wakil Britain, Dina Asher-Smith; juara bertahan 200m dunia yang menduduki tempat keempat 100m, Tamara Clark (AS); pelarai Nigeria, Aminatou Seyni dan wakil Switzerland, Mujinga Kambundji.

Pelari remaja Namibia, Beatrice Masilingi yang menduduki tempat keenam di Olimpik Tokyo 2020, dibelenggu kecederaan dan menduduki tempat terakhir separuh akhir disertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 10:46 AM