Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. FOTO Aswadi Alias
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. FOTO Aswadi Alias
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap seluruh rakyat Malaysia terus memberikan sokongan kepada barisan atlet negara yang masih meneruskan perjuangan di Sukan Olimpik Tokyo.

Jelas Reezal, sokongan yang tidak berbelah bahagi itu amat diperlukan oleh atlet negara dalam menggapai misi penting di Olimpik meskipun sudah ada beberapa atlet yang menamatkan kempen mereka.

"Dalam kita menyertai Sukan Olimpik ini pasti ada cerita yang penuh dengan suka dan duka. Jangan kita ambil dari satu sudut saja pencapaian yang diperolehi daripada atlet kita.

"Sebab masih ramai lagi atlet yang akan meneruskan perjuangan dan mereka memerlukan dokongan dan kata-kata semangat daripada rakyat Malaysia," katanya.

Reezal berkata, atlet yang sudah menamatkan kempen mereka lebih awal seperti atlet gimnastik artistik, Jeremiah Loo Phay Xiang dan perenang negara, Welson Sim sudah mempamerkan aksi terbaik mereka.

"Jeremiah hanya ketahui slot ke Sukan Olimpik melalui 'relocation' pada Jun dan dalam keadaan beliau tidak menjangka serta tiada penyertaan (kejohanan).

"Begitu juga Welson yang menjalani pembedahan pada akhir tahun lalu, dan menjalani proses pemulihan dalam tempoh kurang enam bulan bukan satu benda kecil cabaran terpaksa dilalui.

"Tetapi kedua-dua atlet muda ini menunjukkan aksi masing-masing demi untuk membawa cabaran negara. Saya yakin kedua-dua atlet muda ini boleh melakukan lebih baik selepas ini dengan pengalaman yang ditimba di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 2:57 PM