Aksi Wendy Ng ketika menyertai kejohanan terjun. FOTO File NSTP
Aksi Wendy Ng ketika menyertai kejohanan terjun. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jangan hanya berdiam diri sebaliknya tampil ke depan untuk mengemukakan aduan.

Demikian nasihat penerjun negara, Wendy Ng kepada mana-mana atlet khususnya wanita yang terbabit dengan gangguan seksual melibatkan jurulatih mereka atau individu lain.

Mengakui isu itu agak sensitif, Wendy yang boleh dilabel antara atlet senior, enggan mengeruhkan lagi keadaan tetapi memberi dorongan terutamanya kepada atlet muda supaya berani bertindak.

"Mereka yang terbabit perlu mempertahankan dan melindungi diri sendiri. Apa saja yang berlaku kepada diri masing-masing perlu mendapatkan pertolongan. Isu ini menjadi tumpuan sekarang," katanya.

Wendy yang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo juga menyambut baik tindakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang memandang serius itu berkenaan.

"Sudah tentu mereka yang buat perkara itu (gangguan seksual) perlu menerima hukuman berat," katanya ketika dihubungi.

Reezal menerusi laporan Arena Metro mengakui sangat terganggu selepas membaca pengalaman pahit gangguan seksual yang dialami oleh Cindy Ong ketika juara dunia Masters itu berada dalam pasukan renang negara satu ketika dulu.

Tegas Reezal, perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku kepada mana-mana atlet negara kerana setiap atlet dan pegawai harus berada dalam suasana selamat di dalam pusat latihan kebangsaan.

Katanya tiada kompromi dan tiada perlindungan untuk mana-mana jurulatih dan pegawai jika didapati bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 11:13 PM