REEZAL (tengah) menghadiri majlis bacaan yasin dan doa untuk kontinjen negara di Surau Al-Faizin MSN.
REEZAL (tengah) menghadiri majlis bacaan yasin dan doa untuk kontinjen negara di Surau Al-Faizin MSN.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas mengerah kudrat dan keringat, titipan doa mengiringi perjuangan kontinjen negara untuk temasya Sukan Olimpik dan Tokyo yang bakal membuka tirainya 23 Julai ini.

Menerusi satu majlis ringkas hari ini, Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan majlis bacaan yasin dan doa munajat untuk memohon kepada Allah supaya segala urusan kontinjen negara di Tokyo berjalan lancar dan dilindungi daripada jangkitan Covid-19.

Majlis berkenaan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta Ketua Pengawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang turut serta dalam majlis bacaan yasin dan doa munajat sempena Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 secara maya.

"Mudah-mudahan perjalanan semua atlet yang bakal berlepas ke Tokyo nanti diberikan dan dibekalkan dengan kekuatan doa ini supaya mereka dapat beraksi dengan baik dan akhirnya bersaing untuk mendapatkan kejayaan dan meletakkan nama negara.

"Ini adalah usaha, selepas kita lakukan dengan penuh keazaman, kesungguhan dan pada hujungnya kita sandarkan kepada Allah untuk jayakan usaha murni kita ini.

"Saya juga yakin seluruh rakyat Malaysia yang turut sama mendoakan yang terbaik buat kesemua 30 atlet wira dan wirawati negara. Mudah-mudahan apa yang kita pohon dan minta ini, moga ia dimakbulkan oleh Allah SWT. Insya-Allah," kata Reezal.

Ini adalah penyertaan kali ke-16 kontinjen negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 6:33 PM