REEZAL berkata antara tujuh inisiatif berkenaan ialah Geran Prihatin Sukan (GPIS). FOTO Danial Saad
REEZAL berkata antara tujuh inisiatif berkenaan ialah Geran Prihatin Sukan (GPIS). FOTO Danial Saad
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan tujuh Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan yang memfokuskan agenda kepada usaha tuntas serta penampan membantu penggiat industri sukan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurut menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican inisiatif ini juga usaha KBS dalam menambah nilai pengumuman yang kerajaan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

"Bagi memastikan segala usaha, ikhtiar, strategi yang diumumkan benar-benar sampai kepada penggiat dan pengusaha industri sukan, KBS mewujudkan Sekretariat Prihatin KBS atau (Spike).

"Spike menjadi unit yang responsif dan memberikan maklumat segera mengenai pelaksanaan segala inisiatif dan ikhtiar Kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Antara tujuh inisiatif berkenaan ialah Geran Prihatin Sukan (GPIS) yang disediakan khusus untuk manfaat pengusaha fasiliti sukan dan rekreasi komersial yang terjejas kerana tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh PKP seperti mana diumumkan di dalam Pemulih baru-baru ini iaitu jumlah RM3,000 secara one-off.

"Peruntukan sebanyak RM18 juta disediakan dan ia dijangka boleh memanfaatkan kira-kira 6,000 buah syarikat / perniagaan berdaftar berkaitan industri sukan. Cadangan bantuan ini dikemukakan oleh KBS kepada Kementerian Kewangan sejak awal lagi dan diharapkan kesemua 6,000 pengusaha dapat menikmati GPIS ini. Permohonan GPIS ini boleh dimohon mulai hari ini melalui pautan gpis.kbs.gov.my.

"Inisiatif kedua ialah moratorium bagi penggiat industri sukan, seperti mana pengumuman di dalam Pemulih, peminjam individu sama ada B40, M40 atau T20 dan juga usahawan mikro layak memohon kepada pihak bank bagi mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik.

"Bagi membolehkan penggiat industri sukan dapat menikmati manfaat pelaksanaan moratorium ini, KBS melalui Spike akan membantu dan memudah cara permohonan moratorium oleh pengusaha sukan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan menyediakan surat pengesahan pihak Kementerian untuk menyokong permohonan tersebut kepada pihak bank.

"Inisiatif ketiga ialah insentif sewaan dan operator perniagaan fasiliti sukan KBS iaitu potongan khas cukai kepada pemilik-pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus kepada peniaga dalam tempoh sehingga 31 Disember 2021.

"KBS akan memberikan Insentif Sewaan fasiliti sukan dan rekreasi di bawah seliaan KBS pada kadar 50 peratus untuk tempoh enam bulan akan datang. Insentif Sewaan ini terpakai kepada fasiliti sukan dan rekreasi milik Majlis Sukan Negara (MSN), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), dan Impact Integrated.

"KBS turut memberikan Insentif Operator Perniagaan di fasiliti terpilih di bawah seliaan KBS dengan memberi pengecualian sebanyak 50 peratus kadar sewaan selama enam bulan bermula dari tarikh PKP 3.0 berkuat kuasa.

"KBS juga memanjangkan cadangan pelaksanaan insiatif pengurangan bayaran lesen perniagaan kepada operator sukan untuk pertimbangan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan semua Kerajaan negeri," katanya.

Antara inisitif lain ialah tawaran Myvac khusus untuk pekerja industri 3 sukan KBS, penambahbaikan Skim Pembiayaan Industri Sukan (SPIS) dan Program Vaksinasi Industri Sukan (SPORTIVAC)

"Inisitif ketujuh ialah penawaran kursus berkaitan sukan secara percuma KBS yang turut membuka peluang kursus berkaitan sukan secara percuma kepada penggiat industri sukan serta orang ramai khususnya para belia dalam meningkatkan kemahiran dan ilmu berkaitan sukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 8:24 PM